Friday, October 11, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    YEAB, PPPMB materai MoU kukuhkan kerjasama

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Dalam langkah signifikan ke arah mengukuhkan kolaborasi antara usahawan muda dan perniagaan yang tertubuh, Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) dan Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) telah memeterai sebuah Memorandum Persefahaman di Ibu Pejabat PPPMB, kelmarin.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh YEAB, di sini, menyatakan memorandum berkenaan mengukuhkan komitmen jangka panjang antara kedua-dua buah organisasi untuk bekerjasama rapat dalam inisiatif-inisiatif yang akan memperkasa belia dan usaha di peringkat tempatan dan antarabangsa.

    Di majlis berkenaan, YEAB telah diwakili oleh Presiden YEAB, Goh Chai Li dan Naib Presiden II YEAB, Yang Berhormat Dayang Queenie Chong. Manakala mewakili PPPMB ialah Presiden PPPMB, Dr Haji Abdul Latif bin Haji Chuchu dan Timbalan Presiden Ekonomi, Rizan Latif.

    Perjanjian itu menandakan detik penting dalam misi bersama kedua-dua organisasi untuk menyokong keusahawanan, mempromosikan pembangunan ekonomi dan membina jambatan penghubung bagi profesional muda.

    YEAB dan PPPMB mengenal pasti akan pentingnya untuk menjana sebuah ekosistem dinamik di mana perniagaan yang tertubuh dapat memupuk bakat muda dan di mana usahawan boleh maju dengan meneroka peluang-peluang bagi pertumbuhan.

    Kerjasama itu mencerminkan matlamat bersama kedua-dua organisasi untuk memajukan keusahawanan khususnya di kalangan generasi muda di mana ahli-ahli organisasi berkenaan akan dipelawa untuk mengambil bahagian dalam program, bengkel serta acara yang relevan.

    Di samping itu, kedua-dua organisasi adalah komited untuk berkolaborasi dalam inisiatif bersama serta untuk bekerjasama dalam program-program sedia ada yang selaras dengan matlamatnya sama ada di peringkat tempatan, serantau atau antarabangsa,

    Penubuhan rangkaian juga akan menjadi tumpuan utama di bawah kerjasama itu, di mana YEAB dan PPPMB akan secara proaktif menjana peluang rangkaian bagi ahli-ahlinya, membolehkan mereka untuk berhubung, berkongsi idea dan menubuhkan kerjasama baru.

    Satu lagi aspek penting memorandum berkenaan adalah komitmen untuk menyediakan peluang untuk meneroka prospek pembangunan perniagaan kepada ahli-ahlinya demi  menggalakkan usahawan dan pemimpin perniagaan untuk mempertimbangkan usaha sama baharu, kerjasama dan inovasi yang dapat memacukan perniagaan mereka ke hadapan.

    Dengan menjana akses kepada peluang-peluang berkenaan, kerjasama berkenaan diharap dapat merangsang pertumbuhan dan keusahawanan dalam ekonomi Brunei.

      – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN YEAB

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda