Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    YEAB sertai Karnival Usahawan Muda ASEAN ke-10

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) yang diwakili oleh Presiden YEAB, Goh Chai Li, Setiausaha YEAB, Nadiatul Safirudin dan ahli-ahli penuh, James Goh dan Louis Loo Kee Lee, telah menyertai Karvival Usahawan Muda ASEAN Ke-10 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh YEAB, hari ini, menyatakan acara yang menandakan sedekad impak dalam memupuk keusahawanan muda ASEAN dianjurkan bersama oleh Malaysian Young Entrepreneurs Association (MAYA), ASEAN Young Entrepreneurs Council (AYEC) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

    Karnival berkenaan diadakan di bawah tema, ‘Menghubungkan ASEAN, Menjana Perubahan Global’, itu telah menghimpunkan lebih 100 orang usahawan daripada ASEAN, China, Jepun dan rakan kongsi antarabangsa yang lain.

    Penyertaan YEAB menggariskan peranan aktifnya dalam komuniti AYEC, yang berdedikasi kepada memupuk kolaborasi rentas sempadan dan memeta pertumbuhan baharu bagi perniagaan yang diterajui belia serantau.

    GAMBAR SERAHAN YEAB

    Acara itu menyediakan platform penting bagi delegasi Brunei untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang sedia ada, meneroka pasaran baharu dan menyelaraskan matlamat keusahawanan Brunei dengan matlamat integrasi ekonomi ASEAN yang lebih luas.

    Penglibatan peringkat tinggi dimulakan dengan majlis pembukaan rasmi yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Matlamat utama karnival berkenaan adalah untuk mengetengahkan pencapaian kolektif dan hala tuju masa depan komuniti AYEC.

    Semasa majlis makan malam gala, semangat kerjasama diraikan dengan ucapan-ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli dan Pengerusi ASEAN BAC, Tan Sri Nazir Razak.

    GAMBAR SERAHAN YEAB

    Dalam meraikan pencapaian komuniti berkenaan, Presiden YEAB, Goh Chai Li juga diiktiraf bagi sumbangannya kepada landskap keusahawanan serantau dengan disenaraikan sebagai salah seorang ASEAN’s Top 10 Young Entrepreneurs.

    Pengiktirafan itu mencerminkan pertumbuhan kuat dan potensi serantau yang ditunjukkan oleh perniagaan-perniagaan Brunei.

    YEAB menggalakkan semua usahawan muda tempatan untuk terlibat dan memanfaatkan peluang yang disediakan menerusi keahlian serantaunya dalam AYEC.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda