Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Dalam mengukuhkan dan memperkasa usahawan muda serantau, Persatuan Usahawan Muda Negara Brunei Darussalam (YEAB) dan Kumpulan Usahawan Muda Asia Pasifik (YEGAP) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) dalam majlis penandatangan yang berlangsung secara maya pada 22 Januari lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh YEAB, di sini, penandatanganan MOA berkenaan menandakan sebuah mercu tanda signifikan dalam memupuk kerjasama dan pembangunan keusahawanan merentas sempadan.
Memorandum berkenaan telah ditandatangani oleh Presiden YEAB, Goh Chai Li dan Pengerusi YEGAP, Hiromi Aoki yang melambangkan komitmen bersama kedua-dua buah organisasi kepada memudahkan kolaborasi, mempromosi keusahawanan, memupuk inovasi dan menyediakan peluang bagi pembangunan serta pertumbuhan usahawan-usahawan muda di Negara Brunei Darussalam dan rantau Asia-Pasifik.
Penandatanganan berkenaan telah disaksikan oleh Ketua Pengarah CACCI, Dr Darson Chiu, Mantan Pengerusi YEGAP dan ahli Majlis Penasihat YEGAP, Rommel Gerodias, Pegawai Kanan CACCI, Abby Moreno, Pegawai Kanan CACCI, Teresa Liu dan Sekretariat YEAB, Hamimi.
Kehadiran mereka secara atas talian semasa penandatanganan berkenaan menggariskan kepentingan kerjasama dan potensinya kepada memupuk inovasi serta kolaborasi di serata rantau Asia-Pasifik.
Pada majlis berkenaan, mereka yang menyaksikan penandatanganan serta para pemerhati merakamkan keterujaan mereka mengenai potensi kerjasama berkenaan untuk memacu inovasi dan pertumbuhan dalam ekosistem keusahawanan dalam negara dan rantau Asia-Pasifik.
Berikutan penandatanganan berkenaan, Hiromi Aoki menyatakan harapannya supaya usahawan-usahawan muda dari Brunei akan mengambil bahagian dalam YEGAP secara aktif serta mengambil peranan kepimpinan dalam organisasi berkenaan pada masa hadapan.
Kerjasama di antara YEAB dan YEGAP menggariskan dedikasi bersama untuk memperkasakan usahawan muda, memupuk kolaborasi dan memacu pembangunan mampan merentas sempadan.
Kedua-dua buah organisasi berharap untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif yang akan menyediakan sumber-sumber berharga, peluang-peluang rangkaian serta sokongan bagi usahawan muda untuk maju dalam perusahaan mereka.