TOKYO, 30 OGOS – Hanya air mata yang membasahi pipi atlet powerlifting Malaysia, Jong Yee Khie ketika menaiki podium selepas merangkul pingat perak kategori lelaki 107 kilogram (kg) di Sukan Paralimpik Tokyo.
Yee Khie ternyata gagal menyembunyikan perasaaan hibanya selepas tidak dapat meraikan kejayaannya di sini, bersama emaknya, mendiang Chow Good Sing, yang meninggal dunia kerana sakit jantung pada Oktober tahun lepas.
“Jika Sukan Paralimpik tidak dibatalkan kerana COVID-19 tahun lepas, emak sudah pasti melihat kejayaan saya, namun apakan daya emak telah pergi terlebih dahulu.
“Ketika di podium tadi, hati kecil saya memberitahu emak yang saya sudah berjaya raih pingat perak, harap dia dengar dan bangga dari atas sana,” katanya dalam nada sebak kepada Bernama.
Lebih menyedihkan, jadual latihan yang padat serta Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkannya tidak dapat berada di sisi emaknya sebelum wanita kesayangannya itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun.
Walaupun tidak berjaya dalam percubaan pertama dengan angkatan seberat 230kg, atlet berusia 32 tahun itu kembali bangkit untuk mengesahkan pingat perak dalam percubaan keduanya, apabila melakukan angkatan seberat 237kg.
Bagaimanapun, atlet dari Batu Kawa, Kuching itu kemudian tidak berupaya untuk memperbaiki angkatan keduanya selepas gagal dalam percubaan ketiga dan juga terakhirnya iaitu 245kg. – Bernama
