Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yellow Cab buka cawangan di sini

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Rangkaian restoran piza dari Filipina, Yellow Cab Pizza Co membuka cawangan pertamanya di Brunei yang terletak di Kompleks Shakirin, Kampung Kiulap dengan perasmiannya akan diadakan pada 11 Ogos ini.

    Salah seorang Pengarah/ Pemegang Saham Yello Cab Pizza Co Brunei, Haji Jameel Ahmed bin Haji Basheer Ahmed menjelaskan, restoran itu bermula di Makati, Filipina pada tahun 2001 untuk pelanggan merasakan piza ala New York yang rangup dan sedikit hangus di bahagian bawah, padat serta kenyal di tengah-tengah, serta sedikit melekit di bahagian atas.

    Oleh kerana itu, ia sangat popular terutama di rantau ini, ujarnya lagi semasa ditemui Media Permata di restoran berkenaan, hari ini.

    “Salah seorang pengarah kami, apabila mereka pergi bercuti ke Filipina, dan kebetulan pada ketika itu mereka pergi ke salah satu Restoran Yellow Cab Pizza Co di sana, mereka telah merasakan pizanya dan berpendapat yang ianya berbeza daripada piza yang sebelum ini mereka rasakan di Brunei.

    “Oleh yang demikian, kami memutuskan untuk mencuba membawanya ke Brunei, agar orang di Brunei dapat merasakan perbezaannya daripada piza-piza yang lain di Brunei.

    Haji Jameel Ahmed ketika ditemui Media Permata di Yellow Cab Pizza Co yang terletak di Kiulap.
    Haji Jameel Ahmed ketika ditemui Media Permata di Yellow Cab Pizza Co yang terletak di Kiulap.
    Antara jenis piza yang bakal dihidangkan di Yellow Cab Pizza Co.
    Antara jenis piza yang bakal dihidangkan di Yellow Cab Pizza Co.

    Terdapat perbezaan antara piza tradisional dan juga piza ala New York ini,” tambah Haji Jameel Ahmed ketika menceritakan keputusan mereka membawa masuk piza berkenaan ke negara ini.

    Menurutnya lagi, mereka mula merancang untuk menubuhkan francais kedai piza berkenaan sejak November tahun lalu dengan berbincang dengan pihak pengurusan asal di Filipina selama lebih kurang enam bulan, masa yang begitu lama, kerana bagi memastikan pembukaan francaisnya di Brunei berjalan dengan lancar dan berjaya.

    Selain di Brunei, Yellow Cab Pizza Co sebelum ini dibuka di kawasan lain luar dari Filipina seperti Dubai, Riyadh, Doha, Amman, Hawaii, Beijing, Chang-sha, Tianjin, Singapura dan juga Ho Chi Minh.

    Haji Jameel Ahmed bersama empat orang pemegang saham yang lain, memutuskan untuk membuka cawangan pertamanya di Kiulap memandangkan tempat berkenaan merupakan kawasan perniagaan komersial yang pada masa ini begitu popular dan sering dikunjungi.

    “Anda boleh lihat jumlah bangunan di kawasan ini, ramai pekerja ofis, ramai majikan dan banyak juga jumlah hotel dibangunkan di kawasan Kiulap ini,” jelasnya.

    “Kami perlu mencuba dan memberikan pengalaman agar orang ramai berkata bahawa Brunei, walaupun sebuah negara yang kecil, dapat memberikan pelbagai jenis makanan dan juga pengalaman.”

    Haji Jameel Ahmed juga menjelaskan bahawa tema ‘Yellow Cab’ tersebut digunakan kerana di New York memang terbilang dengan teksi yang berwarna kuning.

    “Begitu juga kalau anda pergi ke London, anda akan melihat teksi berwarna hitam. Apa yang kita lihat adalah tema yang berkaitan dengan suasana di New York yang terkenal iaitu teksi berwarna kuning ataupun ‘Yellow Cab’,” ujarnya.

    Selain itu, mereka juga menggunakan tema-tema lain dalam restoran berkenaan seperti Bangunan ‘Chrysler’, tema ‘Jazz’ dan juga tema ‘Statue of Liberty’.

    Menyentuh mengenai kakitangan, pada masa ini mereka menggunakan 60 peratus orang luar dan 40 peratus orang tempatan.

    “Salah satu sebabnya ialah kerana apabila kami memulakan proses temu bual, ramai orang tidak melihat dan fikir yang kami akan berjaya. Mereka mahu melihat kenyataan pada masa itu.

    Antara kakitangan Yellow Cab Pizza Co Brunei yang sedia berkhidmat untuk pelanggan di sini.
    Antara kakitangan Yellow Cab Pizza Co Brunei yang sedia berkhidmat untuk pelanggan di sini.

    “Ia memakan masa tiga bulan untuk mengubahsuai tempat ini dan ia pada masa ini masih dalam proses pengubahsuaian dan Insya-Allah dengan risalah dan juga berita yang tersebar mengenai Yellow Cab Pizza Co ini, kami akan menjangkakan ramai orang tempatan akan mula memohon untuk bekerja di sini.”

    Selain itu, restoran piza berkenaan juga akan menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah-rumah, yang mana menurutnya, pada masa ini mereka mempunyai tiga buah motosikal bagi perkhidmatan penghantaran dan mereka bukan hanya menghantarnya di kawasan Kiulap sahaja, tetapi juga luar dari kawasan berkenaan.

    Mengenai bahan-bahan yang digunakan dalam menghasilkan menu mereka, Haji Jameel Ahmed berkata, 85 peratus daripada bahan-bahan yang digunakan adalah berasal dari perniagaan di Brunei.

    “Cuma beberapa bahan sahaja kami ambil dari luar seperti sos, kerana sos berkenaan merupakan bahan rahsia bagi menghasilkan cita rasa Yellow Cab Pizza Co yang tersendiri.

    “Apa yang penting ialah kami menggunakan kesemua bahan berkenaan dengan barangan yang mempunyai sijil halal,” tambah Haji Jameel Ahmed lagi.

    Selain piza, Yellow Cab Pizza Co juga menghidangkan menu-menu lain seperti pasta, spageti, salad, ayam, minuman dan pelbagai lagi.

    Bagi masa yang akan datang, ujar beliau, Yellow Cab Pizza Co Brunei bercadang akan mengembangkan lagi cawangannya di negara ini, satu cawangan akan dibuka pada tahun ini dan dua cawangan lagi pada tahun depan.

    “Kami akan membuka lagi cawangan lain di kawasan Panaga bagi memberikan perkhidmatan di kawasan sana, di Rimba, dan juga di kawasan Jalan Muara. Itulah rancangan perkembangan kami,” tambahnya.

    Pada hari pembukaannya, Yellow Cab Pizza Co akan memberikan beg, pelindung matahari (sun shades) dan juga baucar piza percuma bagi kunjungan pelanggan kali kedua, kepada 50 orang pelanggan pertama.

    Perasmiannya dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda