Pada 3 November, pihak agensi Yeo Jin Goo telah mengumumkan, “Yeo Jin Goo telah dipilih sebagai askar KATUSA dan akan memulakan perkhidmatannya pada 15 Disember, selama kira-kira setahun enam bulan.”
Agensi itu menambah, “Upacara kemasukan ke kem latihan adalah acara tertutup yang dihadiri ramai askar dan ahli keluarga mereka. Oleh itu, kami tidak akan mendedahkan masa atau lokasi tepatnya. Kami juga memohon agar para peminat tidak hadir ke lokasi secara peribadi.”
Tambah mereka, “Kami amat berterima kasih atas kasih sayang dan sokongan berterusan terhadap Yeo Jin Goo. Mohon agar awda terus memberi dorongan kepadanya agar beliau dapat menunaikan tanggungjawabnya dengan setia serta kembali dengan sihat dan lebih matang.”
Dilahirkan pada tahun 1997 dan kini berusia 28 tahun, Yeo Jin Goo sendiri mengumumkan berita pendaftarannya kepada para peminat melalui surat tulisan tangan semasa pertemuan peminat terbarunya.
“Walaupun saya akan ‘berehat’ seketika, saya akan berusaha menjadi insan yang lebih kuat dan matang,” tulisnya.
“Saya berjanji akan kembali dengan tubuh dan minda yang sihat, serta berdiri semula di hadapan anda semua dengan lakonan yang lebih mendalam,” tambahnya.
Menurut Allkpop, awal tahun ini, Yeo Jin Goo meraikan ulang tahun ke-20 dalam dunia hiburan dengan jelajah pertemuan peminat Asia ‘BLANKSPACE’, yang membawanya ke Jakarta, Tokyo, Osaka, Chengdu, Shanghai, dan Taipei.
Beliau telah menamatkan jelajah tersebut dengan persembahan terakhir di Seoul pada 1 November. – Agensi


