Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yeong-su akui alami perubahan besar

    Popularitinya melonjak dalam sekelip mata selepas membintangi drama bersiri, Squid Game yang mencetuskan fenomena ketika ditayangkan di saluran Netflix, September tahun lalu.

    Bagaimanapun, sebelum namanya menjadi sebutan seluruh dunia apabila karakter lelaki nyanyuk bernama Player 001 yang dilakonkannya, bintang veteran Korea Selatan, Oh Yeong-su terlebih dahulu dikenali sebagai pelakon teater.

    Memulakan kerjaya seni dalam pentas teater ketika berusia 24 tahun, naskhah pertama aktor kelahiran Korea Selatan itu berjudul A Daytime Walk in the Park hanya menemui khalayak selepas setahun menceburi dunia pementasan teater.

    Dalam satu temu bual bersama stsen tempatan, Yeong-su mengakui, populariti mencanak diraih menerusi drama Squid Game membawa perubahan besar dalam hidupnya.

    Paling ketara, katanya, dia semakin mendapat perhatian sehingga ada kalanya menimbulkan rasa kurang selesa disebabkan sudah biasa menjalani kehidupan sederhana selama 54 tahun bergelar anak seni.

    Yeong-su merasakan dia semakin mendapat perhatian sehingga ada kalanya menimbulkan rasa kurang selesa disebabkan sudah biasa menjalani kehidupan sederhana. – Agensi

    Menyedari kesan dilalui, Yeong-su berkata, dia berjaga-jaga agar emosinya tidak tenggelam bersama limpahan glamor yang baru dikecapi.

    “Situasi ini mengajar saya mengamalkan sikap lebih bertenang, susun atur pemikiran dengan sebaiknya dan kawal diri agar tidak hanyut dengan populariti yang sementara,” ungkapnya.

    Mengotakan apa yang dilafazkannya, lelaki yang bernaung di bawah zodiak Libra ini memaklumkan dirinya pernah menolak untuk membintangi iklan makanan segera popular hingga berita menjadi tajuk hangat di Korea Selatan.

    Sepanjang hidup dalam dunia seni, pelakon veteran itu begitu berahsia tentang kehidupannya walaupun ramai cuba mengorek keluarganya.

    Apa yang diketahui, Yeong-su sudah berkahwin dan mempunyai dua anak lelaki. Kedua-dua anaknya turut mengikut jejaknya sebagai pelakon. Namun, butiran lanjut dan foto keluarganya tidak pernah didedahkan kepada sesiapa.

    Sikap perahsia itu juga membuatkan Yeong-su tidak gemar memiliki media sosial. Bagaimanapun, atas tuntutan kerja dan peminat, pelakon filem God Of War secara rasminya membuka akaun Instagram (IG) atas nama @yeongsuoh pada Oktober tahun lalu. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda