Oleh Hjh Saemah Kepli
SERIA, 30 April – Sekolah Perdagangan telah melancarkan Pusat Perkhidmatan Perusahaan Belia (YES) Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) di IBTE Kampus Sultan Bolkiah (IBTE SBC), di sini, hari ini.
Ia merupakan cawangan kedua setelah cawangan pertama dilancarkan di IBTE Kampus Bisnes, Gadong, sebelum ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pelancaran Pusat YES berkenaan ialah Pengetua IBTE Satelit, Awang Norjemee bin Jenek.
Hadir sama ialah pegawai-pegawai kanan pasukan pengurusan, pengetua IBTE Pusat, pengurus akademik IBTE SBC, pengurus operasi IBTE SBC dan ahli-ahli jawatankuasa acara tersebut.


Pusat YES IBTE ditubuhkan bagi memperkenalkan persekitaran pembelajaran yang autentik bagi kursus perniagaan iaitu HNTec dalam Bisnes dan Kewangan serta NTec dalam Bisnes dan Pentadbiran di IBTE SBC.
Ia juga bertujuan untuk menilai pelajar dalam penilaian praktikal mereka dan untuk menerapkan teori dan konsep yang berkaitan dengan perniagaan dalam keusahawanan serta untuk memupuk pemikiran kreatif dan kritis, kemahiran, kerjasama dan kemahiran komunikasi pelajar.
Pusat YES IBTE terbuka kepada komuniti IBTE dan orang ramai dari jam 8 pagi hingga 3:30 petang.
Dengan adanya pusat berkenaan, ia diharapkan untuk dapat memberikan inspirasi kepada pelajar untuk melaksanakan idea-idea mereka ke dalam situasi realiti serta untuk mewujudkan amalan perniagaan yang lebih baik untuk pelajar sebagai rujukan masa depan mereka.