Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Hari pertama Ekspo Pendidikan Malaysia, Yes2Malaysia di Hotel Mulia pada hari ini membuka tirainya dengan menyaksikan sambutan yang cukup memberangsangkan daripada para pelajar dan ibu bapa.
Ekspo anjuran Rexpocentral Sdn Bhd (Malaysia) dan MEG Educational Services (Brunei) itu disokong oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei.
Sebanyak 21 universiti swasta dan awam Malaysia termasuk kampus cawangan asing dari UK dan Australia secara keseluruhannya menawarkan lebih 800 kursus yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Akreditasi Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNAC).
Hadir bagi menyaksikan ekspo pada petang tadi ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah yang berkesempatan bertemu dengan para perwakilan universiti yang menyertai ekspo tersebut.
Semasa ditemui pihak media, TYT Dato’ Raja Reza menjelaskan bahawa ekspo pendidikan Malaysia ini merupakan acara terbesar yang diadakan di negara ini yang mendapat sambutan yang cukup baik dalam kalangan penduduk di negara ini.


Tuan Yang Terutama mengongsikan, perkara ini adalah disebabkan tawaran yang diberikan oleh pihak penganjur kepada para pendaftar termasuklah tiket penerbangan percuma.
Pada masa yang sama, para perwakilan dari universiti-universiti terlibat juga secara langsung dapat meluluskan permohonan pengunjung dan mengeluarkan surat tawaran pada acara tersebut.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam pada masa yang sama juga mengongsikan sasaran Malaysia untuk mendapatkan 250,000 orang pelajar antarabangsa menuntut di universiti di Malaysia. Pada tahun lalu sahaja kira-kira 50,000 pelajar antarabangsa masuk mendaftarkan diri ke universiti di Malaysia.
Yes2Malaysia bekerjasama dengan kampus cawangan asing untuk menyediakan peluang unik bagi para pelajar memperoleh ijazah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sambil menikmati persekitaran yang kaya dengan budaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Rexpo Malaysia, Ahmed Rezal Chan pada acara tersebut berkata setelah pandemik COVID-19, apa yang menarik adalah banyak universiti telah menawarkan kombinasi program secara hibrid yang memberikan kemudahan kepada pelajar lepasan ijazah untuk menjalankan pengajian mereka secara atas talian yang semakin popular diambil khususnya bagi para profesional atau mereka yang sedang bekerja memandangkan mereka tidak semestinya berada di Malaysia sepanjang waktu pengajian mereka.
Peluang bersemuka dengan wakil universiti dan kaunselor akademik tersebut akan diteruskan lagi pada hari terakhirnya, 19 Ogos di lokasi yang sama.

