Oleh Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Seramai 14 individu terdiri daripada pengurus, pemain dan ahli jawatankuasa Kelab Bola Sepak Youngster (YFC) menyertai Majlis Doa Selamat dan Solat Hajat sebagai persediaan bagi Kejohanan Bola Sepak Veteran Antarabangsa 7 Orang Sepasukan Kelab Sukan Pulau Pinang (PSC) yang akan berlangsung di Pulau Pinang, Malaysia.
Majlis yang diadakan baru-baru ini di salah sebuah kediaman ahli terletak di Kampung Perpindahan Tungku, bertujuan untuk meraih keberkatan dan rezeki atas penyertaan mereka dalam pertandingan yang akan datang.
Pengasas pasukan, Dr Haji Kamaruddin bin Dato Seri Paduka Haji Talib, hadir bagi menyelia majlis tersebut. Beliau berkata penglibatan mereka dalam kejohanan akan datang merupakan aktiviti tahunan pasukan itu.
“Kami kerap bertanding dalam kejohanan sebegini setiap tahun, yang bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat, di samping mengeratkan hubungan silaturahim bukan sahaja dalam kalangan ahli pasukan tetapi juga dengan pasukan lain dari seluruh rantau,” tambahnya.