Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Akademi Bola Sepak Intinusa Olah Prima (ASIOP FC) Jakarta memuji usaha berterusan serta langkah positif Yakin Football League (YFL) dalam membantu memajukan dan mengembangkan sukan bola sepak di Negara Brunei Darussalam.
Ketua Pegawai Eksekutif ASIOP FC, Ade Wellington melahirkan keyakinan lawatan rasmi rombongan YFL ke akademi berkenaan akan membuka lembaran baharu dalam merapatkan hubungan kerjasama serta pertukaran idea bagi memperkembangkan lagi bola sepak antara kedua-dua pihak.
“Kami amat menyambut baik hasrat dan merasa sangat teruja dengan kehadiran delegasi YFL yang mengadakan lawatan rasmi ke kampus ASIOP FC, sekali gus menyaksikan sendiri perkembangan serta aktiviti yang dijalankan di sini,” jelas Ade Wellington semasa berucap bagi mengalu-alukan lawatan delegasi YFL di Stadium ASIOP, Kota Pentadbiran Jakarta Pusat, DKI Jakarta, kelmarin.

Beliau menambah, ASIOP sentiasa membuka pintu kepada YFL untuk saling membantu dan bekerjasama dalam bidang-bidang berkaitan pembangunan bola sepak, khususnya di peringkat akar umbi dan belia bagi kedua-dua institusi.
Menurutnya, lawatan tersebut sudah pasti akan menyuntik semangat kepada ASIOP FC untuk terus meningkatkan persefahaman dan pada masa yang sama berperanan sebagai ‘Abang Tua’ kepada YFL.
Dalam ucapan pengenalan, Ketua Pegawai Eksekutif YFL, Dayang Herna Nur Imani binti Muhd Jeffrey, menjelaskan bahawa lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha untuk mencari platform bagi menubuhkan serta membangunkan strategi pengurusan akademi bola sepak, di samping berkongsi pandangan dengan ASIOP FC.
“YFL sememangnya berhasrat untuk menubuhkan sebuah akademi bola sepak yang holistik, bukan sahaja bagi menggilap potensi pemain tetapi juga untuk memperkukuhkan jati diri para pemain tempatan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, YFL memilih untuk melangkah ke hadapan dalam memajukan bola sepak di Negara Brunei Darussalam dan sebelum ini telah menjalin hubungan kerjasama dengan dua pertubuhan bola sepak di negeri Sarawak, iaitu Limbang FA dan Miri FA.
“Usaha ini akan membantu YFL dalam menubuhkan akademi-akademi bola sepak serta menjadi penganjur kepada kejohanan bola sepak terbesar di Kepulauan Borneo,” ujarnya.
Delegasi YFL yang diketuai oleh Pengerusi Yakin Football League, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, bersama pegawai- pegawai turut berkesempatan menyaksikan secara dekat sesi latihan akademi mengikut peringkat umur, di samping dibawa melawat ke kampus pendidikan ASIOP FC.
ASIOP FC merupakan sebuah akademi bola sepak yang ditubuhkan pada tahun 1997 dan telah berjaya melahirkan ramai bintang bola sepak kebangsaan Indonesia yang turut beraksi mewakili kelab-kelab luar negara.
Akademi berkenaan juga memiliki prasarana yang serba lengkap dan moden, termasuk Stadium ASIOP (ASTA) di Jakarta Pusat, Pusat Latihan ASIOP (ATG) di Sentul, serta House of Champions yang turut terletak di kawasan ATG Sentul.


