Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yiwen sambar tiket ke kejohanan Skuasy Dunia

    BELGIUM, 21 APRIL – Mimpi jadi kenyataan buat pemain wanita Malaysia, Chan Yiwen apabila berjaya mengesahkan slot ke Kejohanan Skuasy Dunia 2024 di Kaherah, Mesir, pada 8 dan 9 Mei ini selepas menjuarai pusingan kelayakan Zon Asia hari ini.
     
    Pada final di Pusat Skuasy, Jalan Duta, di sini, Yiwen tidak berdepan kesukaran untuk menumbangkan rakan senegara K Sehveetrraa 11-6, 11-3, 11-3 sekali gus mengubati kekecewaannya di kejohanan sama tahun lepas.
     
    Pemain berusia 23 tahun itu berkata hasratnya untuk membuat penampilan sulung di pentas kejohanan dunia tahun lepas tidak tercapai selepas terkandas awal.
     
    Saya berbangga kerana dapat mengawal tekanan dalam kejohanan ini kerana hanya ada satu slot (ke Kejohanan Dunia) dan saya sangat ingin menyertai rakan sepasukan yang layak lebih awal kerana tahun lalu saya terlepas hanya dengan satu langkah,” kata pemain kelahiran Kedah itu selepas perlawanan akhir itu.
     
    Antara pencapaian terbaik Yiwen yang merupakan pemain ranking dunia ke-79 tahun ini adalah muncul juara Piala Cabaran PSA Hong Kong pada Februari lepas.
     
    Dalam pada itu, saingan final kategori lelaki menyaksikan wakil negara Addeen Idrakie tumpas kepada pilihan pertama Ryunosuke Tsukue dari Jepun 9-11, 8-11, 3-11 sekali gus gagal melayakkan diri ke Kaherah.
     
    Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S Maniam berkata seramai tujuh pemain akan menggalas cabaran Malaysia di kejohanan dunia itu. 
     
    Wakil tunggal Malaysia dalam kategori lelaki adalah pemenang emas acara perseorangan lelaki Sukan Asia 2022, Ng Eain Yow. – Bernama
     
    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda