Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Sebagai kegiatan tahunan dalam bulan Ramadan bagi membantu masyarakat yang memerlukan bantuan, YMRM Enterprise dan Galleria YMRM telah mengadakan majlis berbuka puasa bagi 280 orang anak yatim, kelmarin.
Anak-anak yatim yang diraikan pada majlis yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong adalah dari Kampung Jerudong, Kampung Sengkurong A dan Sengkurong B, Kampung Tanjong Nangka, Kampung Mulaut, Kampung Kulapis, Kampung Lugu dan Katimahar serta Kampung Tanjung Bunut.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah bekas Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.


Turut hadir ialah Penghulu Mukim Sengkurong, Haji Musa bin Haji Tahir, pemilik dan Pengurus Besar YMRM, Ramesh Jiwatram Bhawnani, ketua-ketua kampung, ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim Sengkurong dan Majlis Perundingan Kampung Jerudong, Sukarelawan Waris Kedayan Kampung Jerudong dan para penjaga anak-anak yatim.
Selain jamuan berbuka puasa, setiap anak yatim menerima sepasang kain dari YMRM dan wang tunai. Pengurus Perhubungan Awam YMRM, Awang Abdul Hamid bin Abad berkata, acara tersebut merupakan acara amal tahunan dan tanggungjawab sosial korporat bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan sempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri.