Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – YMRM Enterprise dan Galeria YMRM yang tidak asing dengan perniagaan tekstil di negara ini, telah membuka semula cawangannya di Batu Satu dengan reka bentuk dan suasana lebih selesa untuk pelanggannya.
Pelancaran semula cawangan berkenaan, hari ini, telah disempurnakan oleh Pengerusi dan Pemilik YMRM Group, Ramesh J Bhawani dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alok Amitabh Dimri.
Menurut Pengarah Urusan YMRM Group, Hitesh R Bhawnani, pembukaan semula cawangan baharu berkenaan dihasrat akan memberikan keselesaan kepada pelanggan dan orang ramai dalam mendapatkan pelbagai jenis kain dengan corak-corak terkini dan tersendiri.
Di samping menawarkan pelbagai jenis kain dengan corak-corak terkini, YMRM Enterprise dan Galeria YMRM turut menawarkan sut dengan menggunakan fabrik yang berkualiti, lampu dan banyak lagi pada harga yang menarik.
Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah wakil-wakil dari kedutaan-kedutaan dan suruhanjaya tinggi di Brunei Darussalam serta para jemputan khas terdiri daripada komuniti India di Brunei.
Semasa pelancaran tersebut, 100 pelanggan terawal berpeluang mendapatkan hadiah seperti sejadah. Di samping itu, YMRM Enterprise dan Galeria YMRM turut menawarkan harga menarik sehingga akhir tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.