Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yodel: Ikon budaya Switzerland, menuju pengiktirafan UNESCO

    LUCERNE, SWITZERLAND – Yodel-ay-hee … apa?! Panggilan yodel terkenal yang selama berabad-abad bergema di seluruh Banjaran Alps dan kini berubah menjadi lagu popular serta muzik rakyat yang mungkin bakal menerima maklum balas dari Paris.

    Kerajaan Switzerland sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan daripada agensi kebudayaan PBB, UNESCO, yang berpusat di bandar Perancis, untuk memasukkan tradisi yodel dalam senarai warisan budaya tidak ketara. Keputusan dijangka diumumkan menjelang hujung tahun ini.

    Para penyokong di zaman ini menekankan bahawa yodel kini jauh lebih daripada sekadar jeritan gunung oleh penggembala lelaki bersuara falsetto dengan seluar gantung yang melaungkan bersama alat muzik alphorn di lereng bukit hijau. Ia kini menjadi bentuk nyanyian popular.

    Sepanjang abad lalu, kelab-kelab yodel muncul di Switzerland, membangunkan tradisi itu dan meluaskan tarikannya dengan nada, teknik serta getaran vokal yang semakin diterima dalam kamus muzik antarabangsa termasuk muzik klasik, jazz dan rakyat. Penyanyi country Amerika turut menggabungkan elemen yodel dengan ketara dalam lagu mereka pada akhir 1920an dan 30an.

    Kira-kira tujuh tahun lalu, Universiti Sains Gunaan dan Seni Lucerne menjadi universiti pertama di Switzerland yang mengajar yodel.

    Nadja Raess menyanyi yodel di Lucerne, Switzerland. – AP
    Para pelajar yodel berlatih di Universiti HSLU di Lucerne, Switzerland. – AP
    Nadja Raess memberi tunjuk ajar cara menyanyi yodel kepada pelajar di Universiti HSLU di Lucerne, Switzerland. – AP
    Gambar AP

    “Bagi saya, sebenarnya di Switzerland kita ada empat bahasa, tapi saya rasa kita sebenarnya ada lima bahasa.

    “Bahasa kelima ialah yodel,” kata seorang profesor di universiti itu, Nadja Räss yang merujuk kepada empat bahasa rasmi Switzerland iaitu Jerman, Perancis, Itali dan Romansh. Yodel juga wujud di Austria, Jerman dan Itali, tetapi yodel Switzerland mempunyai keunikan tersendiri kerana teknik vokalnya, katanya.

    Pada zaman dulu, yodel melibatkan laungan bunyi vokal tanpa perkataan atau ‘yodel semula jadi’, dengan melodi tetapi tanpa lirik.

    Kini, ‘lagu yodel’ telah berkembang dengan memasukkan rangkap dan korus.

    Kerajaan Switzerland menyatakan sekurang-kurangnya 12,000 penyanyi yodel terlibat melalui kira-kira 780 kumpulan di bawah Persatuan Yodel Switzerland.

    Di Switzerland, kata Räss, yodel dibina atas ‘warna bunyi suara’ dan mempunyai dua jenis, satu berpaksikan kepala dengan bunyi ‘u’ dan satu lagi berasal dari dada dengan bunyi ‘o’.

    Malah dalam Switzerland sendiri, gaya yodel berbeza-beza, yodel di kawasan utara berhampiran Appenzell lebih “melankolik dan perlahan”, manakala di wilayah tengah negara itu, bunyinya “lebih kuat dan pendek,” katanya.

    Apa yang bermula sebagai aktiviti lelaki kini menarik lebih ramai wanita di negara yang hanya memperkenalkan hak mengundi sejagat pada tahun 1971. Wilayah Appenzell-Innerrhoden hanya memberikan hak mengundi kepada wanita dalam pilihan raya tempatan pada tahun 1990 selepas keputusan mahkamah tertinggi.

    Julien Vuilleumier, penasihat saintifik di Pejabat Persekutuan Kebudayaan yang mengetuai permohonan Switzerland itu, berkata sukar untuk menjejaki asal-usul yodel yang sudah sebati dengan imej Banjaran Alps.

    “Ada yang mengatakan ia adalah cara komunikasi antara lembah, menggunakan bunyi yang sangat khas dan boleh didengar dari jauh. Ada pula yang percaya ia adalah bentuk nyanyian,” katanya. “Apa yang kita tahu ialah yodel sentiasa berubah dan diperbaharui.”

    Jawatankuasa Warisan Tidak Ketara UNESCO di peringkat kerajaan akan membuat keputusan pada pertengahan Disember di New Delhi.

    Pengiktirafan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang seni, pertukangan, ritual, pengetahuan dan tradisi yang diwarisi turun-temurun.

    Antara 68 pencalonan keseluruhan tahun ini termasuk tradisi seperti bedak muka Thanakha di Myanmar; muzik highlife di Ghana; manakala minuman diperam Kyrgyz, Maksym; serta muzik dan tarian El Joropo di Venezuela.

    Senarai itu berbeza daripada Senarai Warisan Dunia UNESCO yang melindungi tapak fizikal penting kepada manusia, seperti Piramid Giza di Mesir.

    Tahun lalu, wain beras dari Jepun merupakan antara lebih 60 yang diiktiraf dalam senarai warisan tidak ketara itu, bersama perayaan musim bunga Nowruz di Asia Tengah dan kemahiran tukang bumbung zink di Paris.

    Räss berkata, calon yang disenaraikan untuk warisan tidak ketara diminta menjelaskan prospek masa depan tradisi kebudayaan masing-masing.

    “Kami telah merancang beberapa projek untuk membawanya ke masa depan. Salah satunya ialah membawa yodel ke sekolah rendah,” kata Räss, merujuk kepada usaha bersama Persatuan Yodel Switzerland dan pusat muzik rakyat yang dikenali sebagai Roothus Gonten.

    Seramai 20 guru sekolah di Switzerland tahu cara menyanyi yodel dan sedang mencubanya bersama pelajar mereka.

    “Salah satu matlamat hidup saya ialah apabila saya meninggal nanti, setiap kanak-kanak sekolah di Switzerland pernah berhubung dengan yodel semasa di sekolah rendah,” katanya.

    “Saya rasa ia peluang yang sangat baik untuk masa depan yodel berada dalam senarai (UNESCO) itu,” ujarnya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda