Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yoga terapi unik

    LOS ANGELES – Adonna Ebrahimi, 53, baring di atas tikar yoga dan berusaha untuk mengekalkan posisi ular tedung apabila beberapa ekor anak kambing sedang menyeimbangkan diri di belakang badannya.

    Pemandangan melakukan aktiviti kecergasan yoga kambing semakin mendapat perhatian di Amerika Syarikat (AS). Segenap lapisan masyarakat berpusu-pusu untuk menyertai kelas yoga yang dilakukan bersama sekumpulan kambing. Apa yang pasti, ia mampu mengundang tawa usai kelas berakhir.

    Aktiviti kecergasan terbaharu yang dilakukan di ladang-ladang seluruh negara itu melibatkan baka Dwarf Nigeria iaitu spesies kambing kecil berasal dari Afrika Barat. Kambing-kambing tersebut dilihat merayau-rayau di dalam kandang.

    “Pada mulanya, ia agak menakutkan kerana saya tidak tahu bahawa kambing akan melompat ke atas belakang saya.

    “Namun, apabila mereka berdiri di atas belakang badan, saya dapat merasakan kehangatan tubuh haiwan tersebut sambil bertemankan terik mentari, langit membiru dan pepohon melambai.

    ’Yoga Kambing’ adalah satu aktiviti kecergasan terbaru yang kini menjadi kegilaan di Amerika Syarikat. – AFP
    ’Yoga Kambing’ adalah satu aktiviti kecergasan terbaru yang kini menjadi kegilaan di Amerika Syarikat. – AFP
    Reaksi seorang wanita apabila anak kambing berada dekat dengan beliau semasa kelas ‘Yoga Kambing’ berlangsung. – AFP
    Reaksi seorang wanita apabila anak kambing berada dekat dengan beliau semasa kelas ‘Yoga Kambing’ berlangsung. – AFP

    Ia memberi ketenangan kepada saya,” kata Ebrahimi sewaktu ditemui selepas aktiviti yoga kambing di pinggir Los Angeles baru-baru ini.

    Kira-kira 20 orang peserta dan 15 ekor kambing yang merangkumi 11 ekor anak dan empat ekor ibu, telah menyertai kelas yang diadakan di dalam kandang yang berlantaikan jerami.

    Ketika pengajar yoga, Meridth Lana, mengarahkan peserta menghembuskan nafas dengan kuat sambil menjaga postur badan, kedengaran kambing-kambing tersebut mengembek sambil melompat-lompat di atas belakang badan peserta. Malah, ada juga yang bertindak ‘mengunyah’ rambut atau janggut dan menjilat muka peserta. Di satu sudut, terdapat kambing yang sedang membuang air besar.

    Terapi tidak ternilai

    “Mereka comel dan mesra. Mereka mungkin ‘makan’ rambut anda dan meninggalkan sisa buangan di atas tikar, tetapi semua itu menyeronokkan.

    “Terapi yang diperoleh sangat tidak ternilai,” ujar Lana selepas menamatkan kelas.

    Keluarga yang memiliki kambing tersebut, Danette McReynolds memberitahu, dia menganjurkan kelas tersebut dengan tujuan untuk mengumpul dana bagi anak perempuannya yang berumur 16 tahun serta seorang rakannya.

    Mereka merancang untuk mempamerkan binatang tersebut pada satu pertunjukan ladang di Wisconsin pada musim panas ini.

    “Kami tidak tahu bagaimana perancangan tersebut berjalan tetapi kami tetap dengan pendirian kami.

    “Orang ramai menyukainya. Peserta membelai dan memeluk kambing seterusnya menjadikan mereka lebih tenang,” katanya.

    Reaksi Bonita William semasa kelas ‘Yoga Kambing’ berlangsung yang dianjurkan oleh Lavenderwood Farm. – AFP
    Reaksi Bonita William semasa kelas ‘Yoga Kambing’ berlangsung yang dianjurkan oleh Lavenderwood Farm. – AFP
    Seekor anak kambing berada di belakang badan Adonna Ebrahimi semasa kelas ‘Yoga Kambing’ diadakan. – AFP
    Seekor anak kambing berada di belakang badan Adonna Ebrahimi semasa kelas ‘Yoga Kambing’ diadakan. – AFP

    Tambah Lana, interaksi dengan kambing diumpamakan seperti bermain dengan haiwan peliharaan yang telah terbukti secara klinikal mampu melegakan stres.

    “Kebahagiaan yang dibawa kambing-kambing ini sangat hebat. Semua haiwan bersifat terapeutik tetapi ada sesuatu tentang kambing-kambing ini yang lain daripada yang lain.

    “Anda boleh berada dalam posisi meniarap seperti seorang kanak-kanak dan anda tidak mahu bangun kerana terdapat seekor kambing di belakang tubuh anda,” katanya.

    Beberapa peserta yang menyertai kelasnya berkata, kambing memang sengaja dimasukkan semasa senaman yoga dijalankan. Mereka merupakan satu gangguan yang menyebabkan semua orang terhibur.

    “Ia satu senaman yang mampu mengurangkan tekanan dan kekecewaan.

    “Saya langsung tidak memikirkan urusan pentadbiran di Washington sepanjang sesi senaman yoga ini.

    “Kalau boleh, saya ingin melakukan senaman ini setiap minggu,” kata Judy Waters, peserta yang menghadiri kelas bersama suami dan beberapa kawan-kawan lain sambil meraikan ulang tahun kelahirannya.

    “Anda tidak akan merasa kecewa atau sedih apabila sekelompok anak-anak kambing berada di atas badan anda dan menjadi ‘gila-gila’ seketika.”

    Terdapat juga bonus tambahan, katanya.

    “Saya tidak berfikir tentang hal ehwal pentadbiran di Washington sama sekali semasa melakukan terapi ini selama berjam-jam,” senyum Waters.

    “Saya suka melakukannya setiap minggu jika boleh.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda