YANGON – Kini peminat aktiviti kecergasan di Myanmar telah melakar trend terbaru dalam pelenturan-badan ke satu tahap yang lebih tinggi – melakukan gaya-gaya yoga di dinding mendaki.
Khin Myat Thu Zar menyusuri bahagian atas dinding di salah sebuah pusat pendakian yang baru dibuka di Yangon dengan rasa teruja dan tenang. Namun pendakiannya belum tamat.
Dengan bantuan daripada rakan talinya, dia dapat melakukan aksi terbalik, kakinya digenggam erat pada dinding pendakian dalam membolehkannya untuk melakukan aksi terbalik sambil memikirkan perkara-perkara yang menenangkan di dalam dunia ini.
“Kekuatan tenaga adalah sangat diperlukan untuk melakukan yoga ini, manakala pemikiran pula mesti dalam keadaan stabil sepenuhnya,” katanya kepada AFP selepas salah seorang pendaki melakukan aksi yang pelbagai dan rumit.
“Anda perlu berani,” katanya.


Bekas peguam berusia 32 tahun itu telah mengajar yoga di Myanmar secara profesional selama lima tahun yang lalu. Dia mula memanjat enam bulan lalu bagi menguatkan ototnya dan memutuskan untuk merangkumkan dua hobinya itu bersama.
“Perasaan semasa berada di dinding itu sangat berbeza daripada (yoga) yang biasa dilakukan,” katanya, sambil mengakui bahawa aktiviti ‘panjatan yoga’ ini bukanlah untuk mereka yang lemah semangat dan ianya berisiko. “Jika kita melakukannya dengan cara yang salah, ia boleh mencederakan dan membahayakan.”
Kebanyakan pelajarnya berasal dari kelas menengah Myanmar yang sedang berkembang pesat dan menjadi tumpuan dunia sejak negara itu disisihkan dan meninggalkan peraturan ketenteraan enam tahun yang lalu.
Pilihan gaya hidup yang pelbagai yang mana kebanyakan masyarakat di barat sudah lama menerima pakai – dari makanan segera dan kafe hipster sehinggalah kelab-kelab malam – masih dilihat baru di Myanmar.
Kini studio yoga, dinding mendaki dan pakaian gim yang ketat, trend ini hampir tidak pernah didengar ketika di bawah peraturan ketenteraan.
“Ia kini sudah berubah,” kata Khin Myat Thu Zar, apabila ditanya sama ada pakaian terlampau ketat ini sudah menuju ke sebuah negara yang masih sangat konservatif, di mana kaum wanita tidak digalakkan untuk menunjukkan kulit tubuh badan mereka.

“Fesyen pakaian sukan ini sudah menjadi trend baru di Myanmar,” jelasnya.
Pada harga AS$12 sejam bagi satu sesi, kelas ‘panjatan yoga’ ini sesuai bagi mereka yang mampu atau golongan kaya di negara ini di mana purata gaji tahunan di sana adalah hanya AS$1,250.
Tetapi dia tidak pernah menghadapi kekurangan peserta yang bersanggupan. Dalam satu sesi baru-baru ini, kira-kira separuh daripada belasan wanita dan dua orang lelaki melakukan pemanasan badan sebelum mencubanya dengan pelbagai posisi yoga di dinding.
Myint Myat Sandy, seorang pelajar berusia 25 tahun, berkata dia mahu menggunakan pendakian ini untuk meningkatkan kecergasannya dan juga meningkatkan kemahiran yoganya di atas tanah.
“Cara kami adalah berbeza (panjatan yoga), ia membina kekuatan tangan anda,” katanya. Sandar Win, seorang bina badan berusia dalam lingkungan 40-an, mengatakan bahawa ia adalah mengenai kedamaian dalaman dan dia sangat merasainya.
Dia menjelaskan: “Saya sangat suka dengan rasa yang saya perolehi pada akhir sesi yoga ini. Fikiran saya sangat tenang.” – AFP