Saturday, October 26, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yogendran mahu tingkat prestasi Jun Hao, Justin

    KUALA LUMPUR, 25 OKT – Jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan Malaysia, K Yogendran sedang merencanakan strategi terbaik bagi meningkatkan prestasi Leong Jun Hao dan Justin Hoh, sebelum menyertai sebarang kejohanan.

    Yogendran yang mula mengalas tanggungjawab membimbing skuad perseorangan lelaki negara bulan lepas berkata kedua-dua pemain itu, mempunyai kelebihan tersendiri untuk meningkatkan prestasi mereka namun memerlukan sedikit penambahbaikan.

    “Saya sedang cuba betulkan pergerakan dan pukulan mereka. Ini yang saya cuba fokus ketika ini.

    “Kalau mereka nak main di tahap tertinggi, mereka kena ada sesuatu yang istimewa seperti pemain-pemain terbaik lain,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

    Sementara itu, Yogendran berkata seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong menunjukkan perkembangan positif selepas mengalami kecederaan belakang.

    Bagaimanapun beliau berkata pemain berusia 24 tahun itu, tidak akan menyertai mana-mana kejohanan untuk memberi fokus penuh kepada proses pemulihan.

    “Kita sudah bincang dengan Tze Yong yang kita nak dia bersedia mental (dan fizikal), sebelum menyertai kejohanan. Kita tak mahu terlalu tergesa-gesa untuk dia.

    “Kita tidak mahu nanti dia menyertai kejohanan dan mengalami kecederaan,” katanya.

    Tze Yong mengalami kecederaan belakang ketika beraksi pada Kejohanan Berpasukan Asia di Shah Alam pada Februari lepas, sekali gus meranapkan impiannya untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda