Penyanyi dan komposer muda, Yonnyboii, 23, giat membuat persembahan dalam talian bagi melepaskan kerinduan beraksi di pentas.
Bagaimanapun, kongsi Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, menyanyi atas pentas lebih memberikan kepuasan, namun apakan daya, hanya mampu melepaskan kerinduan atas platform media sosial, buat masa ini.
“Saya masih gemar mengadakan persembahan atas pentas.
Sebagai penghibur, saya rindu berinteraksi dengan peminat, merasai momen mengadakan persembahan secara langsung, namun akur situasi pandemik COVID-19.
“Disebabkan itu, saya sedang mencuba banyak perkara baharu. Contohnya, merapatkan diri dengan komuniti dengan merakamkan lebih banyak lagu saduran dan seumpamanya.
“Saya tak buat apa dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Jadi, kena rajin menghasilkan kandungan kreatif dalam laman sosial.
“Saya anggap rakam persembahan di rumah se-perti membuat persembahan pentas. Saya muat naik dalam laman sosial supaya peminat boleh tengok dan terhibur,” katanya kepada media.
Ketika persembahan dalam talian dilihat lebih relevan dengan situasi pandemik COVID-19, pelantun lagu Salahku itu berkata, dia perlu menjaga kualiti video nyanyian yang dimuat naik.
“Merakamkan video nyanyian dalam talian mempunyai cabaran tersendiri sebab saya perlu lebih teliti, berbanding persembahan atas pentas yang boleh berseronok. Jadi, menyanyi dalam talian dikira sebagai persembahan yang perlu dijaga kualiti,” katanya.
Dalam pada itu, Yonnyboii tidak menyangka video lagu Beggin nyanyian asal oleh Madcon, berjaya menarik perhatian ramai peminat.
Video nyanyian semula yang dimuat naik di laman sosial, TikTok itu mendapat pujian ramai.
Sementara itu, Yonnyboii meluahkan kegembiraan diberi peluang menjayakan beberapa konsert secara virtual bertaraf antarabangsa.
Antaranya, konsert virtual Def Jam South East Asia anjuran Coach pada 24 Jun lalu.
Turut serta, rapper Amerika-Thailand, Daboyway dan penyanyi rap Indonesia, Rayi Putra,” katanya yang turut diundang menjayakan acara TikTok Music Night. – Agensi