Penyanyi dan komposer muda, Yonnyboii meluahkan rasa syukur apabila isterinya, Nik Nazira Narriman selamat melahirkan cahaya mata lelaki seberat tiga kilogram (kg) pada jam 4 pagi, semalam.
Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 24, berkongsi isteri dan anak yang dinamakan sebagai Kairo dalam keadaan sihat walafiat.
Justeru, Yonnyboii berkata, dia bersyukur apabila segala urusan melahirkan anak sulungnya dipermudahkan.
“Alhamdulillah, isteri selamat melahirkan anak sulung secara normal pada Awal Muharam jam 4 pagi, semalam.
“Jujurnya, proses kelahiran anak sangat mudah apabila isteri hanya bertarung selama satu jam sebelum melahirkan Kairo.

“Ceritanya, selepas kami menonton filem di rumah, pada jam 2 pagi, isteri mengadu sakit perut, tetapi bila ke tandas, tiada apa yang berlaku.
“Jadi, saya memujuknya ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Mujur, kami sempat ke hospital kerana bukaan sudah terbuka sebanyak tujuh sentimenter.
“Alhamdulillah, anak selamat dilahirkan selepas sejam,” katanya kepada BH Online.
Dalam masa sama, calon Top 5 Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35 itu juga meluahkan perasaan takut, lebih lagi bergelar bapa pada usia muda.
“Saya takut memikirkan bolehkah saya menjadi bapa yang terbaik untuk Kairo, tetapi saya akan mencuba yang terbaik.
“Saya percaya dengan dorongan keluarga menjadi kekuatan untuk saya menjaga anak dengan baik, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Yonnyboii juga akan mengeluarkan lagu istimewa buat anaknya dalam masa terdekat.
Kata Yonnyboii, dia akan memuatkan anaknya dalam video muzik lagu itu. – Agensi

