SEOUL, 10 MEI – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengangkat sumpah jawatan presiden kelmarin dan berikrar membina semula negara berlandaskan demokrasi liberal dan ekonomi pasaran serta menawarkan ‘pelan berani’ untuk Korea Utara.
Dalam ucapannya Yoon berkata Korea Selatan berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik termasuk pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pengangguran, lapor Agensi Berita Yonhap.
“Generasi kita mahu sebuah negara yang menyokong demokrasi liberal dan memastikan ekonomi pasaran yang berkembang maju, sebuah negara yang memenuhi tanggungjawabnya sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang dipercayai, dan sebuah negara yang benar-benar milik rakyat,” katanya.
Yoon turut menawarkan Korea Utara beberapa ‘pelan berani’ jika negaranya bersedia untuk mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear.
“Jika Korea Utara benar-benar mahu untuk memulakan proses mengenyahkan senjata nuklear, kami bersedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk membentangkan pelan kami yang akan mengukuhkan ekonomi Korea Utara dan meningkatkan kualiti hidup rakyatnya,” tambahnya. – Bernama
