SEOUL, 21 NOV – Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, yang telah disingkirkan daripada jawatan, sekali lagi berdepan tindakan undang-undang apabila didakwa atas tuduhan memanipulasi siasatan berhubung insiden lemas seorang anggota marin.
Hari ini, salah seorang penyiasat bebas mendakwa Yoon, bekas menteri pertahanannya serta 10 lagi individu atas penyalahgunaan kuasa kerana didakwa cuba mengubah laporan siasatan kematian Koperal Chae Su-geun, yang meninggal dunia ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir pada 2023.
Laporan awal siasatan kor marin menamakan seorang komander divisyen serta tujuh lagi individu bertanggungjawab atas kematian Chae.
Namun, Yoon dilaporkan berang dengan penglibatan komander tersebut, sehingga mendorong pegawai kanan pejabat presiden dan Kementerian Pertahanan mendesak kor marin supaya meminda laporan bagi mengecualikan nama pegawai berkenaan, kata Penolong Peguam Khas, Choung Min-young dalam satu taklimat.
Ketua pasukan siasatan kor marin, Park Jung-hun, tidak menghiraukan desakan tersebut dan tetap menyerahkan laporan berkenaan kepada polis.
Bagaimanapun, Yoon kemudian mengarahkan pegawai untuk mendapatkan semula laporan itu daripada polis, selain mengarahkan Park digantung tugas serta disiasat atas dakwaan ingkar arahan, jelas Choung. – AFP


