Pelakon Korea, Yoon Eun Hye mendedahkan pengalaman hitam ketika awal kemunculan sebagai seorang selebriti sehingga meninggalkan kesan trauma buat dirinya.
Di sebalik populariti yang diraik, Eun Hye, 41, juga pernah berdepan dengan situasi tidak disukai peminat sehingga ada yang bertindak luar kawalan.
Lebih menyedihkan lagi, pelakon itu turut berkongsi satu insiden yang hampir meragut penglihatannya.
“Saya sendiri pernah diserang menggunakan pistol air berisi asid hidroklorik sehingga hampir buta.
“Selain itu, saya juga pernah dilempar telur mentah ketika bergelar penyanyi. Semua itu meninggalkan kesan trauma mendalam,” katanya memetik laporan mStar.
Eun Hye berkongsi perkara tersebut ketika tampil sebagai tetamu dalam sebuah program televisyen yang membincangkan isu penderitaan mangsa pengusiran dan perobohan penempatan di Seoul pada era 1990an.
Pengakuan tersebut membuat ramai terkejut kerana tidak menyangka dia melalui fasa seteruk itu dalam kerjaya seninya.
Tambahnya lagi, trauma bukan sesuatu yang mudah dilupakan kerana peristiwa itu kekal menghantui dirinya hingga kini. – Agensi


