SEOUL, 12 MEI – Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, hadir di mahkamah hari ini untuk satu lagi sesi perbicaraan jenayahnya, selepas berjalan melepasi sekumpulan wartawan yang menunggu ketika dia membela diri terhadap tuduhan pemberontakan susulan pengisytiharan undang-undang tentera.
Yoon secara rasmi dilucutkan jawatan bulan lalu selepas dia didakwa dan digantung tugas oleh Parlimen berhubung cubaan menggulingkan pemerintahan awam pada 3 Disember, yang menyaksikan tentera bersenjata dihantar ke Parlimen.
Pada Januari, Yoon menjadi ketua negara pertama Korea Selatan yang ditangkap semasa masih menjawat jawatan, namun dibebaskan atas alasan prosedur.
Mahkamah Seoul mengarahkan Yoon hadir ke perbicaraan dan dia juga telah dilucutkan hak untuk masuk melalui tempat letak kereta bawah tanah, menyebabkan dia terpaksa melalui kumpulan media buat kali pertama.
Berpakaian sut dan bertali leher merah, Yoon tidak memberi sebarang kenyataan kepada wartawan ketika melangkah masuk.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Yoon telah berucap selama lebih 90 minit untuk menafikan dakwaan bahawa dia melakukan pemberontakan.
Jika didapati bersalah, Yoon bakal menjadi presiden ketiga Korea Selatan yang disabitkan kesalahan pemberontakan selepas dua bekas pemimpin tentera yang terlibat dalam rampasan kuasa pada 1979.
Bagi kesalahan pemberontakan, Yoon boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman maksimum iaitu hukuman mati. Namun, hukuman mati amat tidak mungkin dilaksanakan kerana Korea Selatan telah mengamalkan moratorium tidak rasmi ke atas hukuman mati sejak 1997.
Selain itu, pada awal Mei, pihak pendakwa telah mendakwa Yoon tanpa penahanan atas penyalahgunaan kuasa berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera.
Pertuduhan itu dibuat sehari selepas penyiasat turut menyerbu kediaman peribadi Yoon di Seoul bagi menyiasat dakwaan rasuah membabitkan isterinya, Kim Keon Hee dan seorang pawang yang didakwa menerima hadiah mewah bagi pihak bekas wanita pertama itu.
Parti Yoon, Parti Kuasa Rakyat (PPP), kelmarin menamakan bekas menteri buruh Kim Moon-soo sebagai calon rasmi presiden bagi pilihan raya yang diadakan susulan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon.
Menerusi Facebook, Yoon menyifatkan pilihan raya pada 3 Jun itu sebagai ‘soal hidup dan mati bagi sistem demokrasi liberal Korea Selatan’.
“Wahai rakyat, khususnya generasi muda yang menghargai kebebasan, saya merayu sekali lagi agar anda berdiri bersama kami,” tulis Yoon yang berusia 64 tahun. – AFP