Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yoon, Kishida tekad perkukuh hubungan dua hala

    SEOUL, 6 SEPT – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengadakan rundingan di Seoul hari ini untuk membincangkan cara memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara, lapor agensi berita Yonhap.

    Kishida tiba untuk lawatan dua hari, yang merupakan sidang kemuncak ke-12 mereka dalam tempoh dua tahun.

    Ia juga akan menjadi sidang kemuncak terakhir mereka susulan Kishida menyuarakan hasrat untuk tidak bertanding semula untuk jawatan perdana menteri dan ketua Parti Demokratik Liberal selepas tiga tahun memegang jawatan.

    Semasa sidang kemuncak itu, kedua-dua pemimpin merancang untuk meninjau kembali pencapaian kerjasama antara kedua-dua negara dan membincangkan cara untuk memperkukuh kerjasama dua hala, serantau dan antarabangsa, menurut pejabat Yoon.

    Yoon dan Kishida menjalinkan hubungan erat selepas Yoon memutuskan untuk menyelesaikan pertikaian yang lama berlarutan mengenai pengerahan tenaga kerja paksa warga Korea oleh Jepun semasa perang, dengan menawarkan pampasan kepada mangsa tanpa meminta sumbangan daripada syarikat Jepun.

    Sejak itu, kedua-dua pemimpin memulihkan diplomasi yang telah lama dihentikan, dengan saling melawat dan mengadakan beberapa siri mesyuarat di luar persidangan antarabangsa.

    Hubungan itu juga memperkukuh kerjasama keselamatan trilateral dengan Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara. – Bernama

    Yoon dan Kishida berjabat tangan semasa mesyuarat di Pejabat Presiden di Seoul, Korea Selatan, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda