SAN FRANCISCO, 3 Jan – YouTube, rangkaian perkongsian video terbesar dunia, pada Selasa memberi maklum balas terhadap sebuah video grafik mayat mangsa bunuh diri kontroversi yang dimuat naik oleh seorang daripada bintang paling popularnya pada hujung minggu, lapor agensi berita China Xinhua.
Berikutan kemarahan yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna, YouTube, yang dimiliki gergasi teknologi terkemuka dunia iaitu Google, mengeluarkan satu kenyataan pada Selasa bagi memperjelas polisinya dalam mengharamkan kandungan ganas dan lain-lain yang tidak sesuai.
“Kami bersimpati dengan keluarga mangsa yang dipaparkan dalam video itu. YouTube melarang kandungan ganas atau mengerikan dimuat naik dengan cara yang mengejutkan, sensasi dan biadap,” kata YouTube.
Video itu menunjukkan Paul dan beberapa rakannya berjalan melalui hutan Aokigahara di Jepun apabila mereka terserempak dengan mayat seorang mangsa bunuh diri. – Bernama