Friday, September 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    YouTube lancar alat kandungan baharu

    NEW YORK, 19 SEPT – YouTube telah mempertingkatkan platfromnya dengan alat kandungan baharu untuk pengguna kelmarin ketika ia bersaing dengan penstriman seperti Netflix di kebanyakan skrin televisyen di rumah.

    Platform perkongsian video milik Alphabet yang popular di komputer, tablet dan telefon pintar telah mempunyai penggemar tontonan di skrin televisyen.

    Perkhidmatan penstriman langganan YouTube juga semakin mendapat perhatian, di mana ia menawarkan penyiaran langsung di lebih 100 saluran, dengan kerjasama rangkaian sedia ada.

    “Ia adalah skrin tontonan yang paling pesat berkembang,” kata ketua YouTube, Neal Mohan, mengenai televisyen pada pembentangan kepada pencipta kandungan platform di New York.

    “Jadi, ia merupakan skrin yang sangat besar untuk semua pencipta kami,” tambahnya lagi.

    Alat baharu termasuk cara untuk mengoptimumkan kandungan bagi paparan pada skrin besar dan menawarkan kandungan dalam format yang serupa sepertimana yang terdapat pada skrin televisyen di mana ia mengandungi episod dan musim.

    Penduduk di seluruh dunia menonton lebih daripada satu bilion jam video YouTube setiap hari di skrin televisyen di rumah, tambah Mohan.

    Bilangan pencipta yang mencari pendapatan daripada YouTube telah meningkat kira-kira 30 peratus pada tahun lalu, menurut syarikat itu.

    Penstriman mencipta sejarah Julai lalu, menyumbang 41.4 peratus daripada jumlah masa tontonan televisyen di Amerika Syarikat, menurut Nielsen.

    YouTube menjadi platform penstriman pertama yang mendahului bahagian 10 peratus masa tontonan televisyen, diikuti Netflix dengan 8.4 peratus, menurut Nielsen.

    Untuk membina momentumnya, YouTube akan mula menawarkan versi sinematik video pencipta, yang akan dioptimumkan untuk tontonan di televisyen.

    YouTube juga mengumumkan ia akan membolehkan pencipta menyusun kandungan ke dalam episod atau musim, satu langkah yang direka bentuk agar lebih dikenali oleh penonton televisyen. – AFP

    Gambar fail bertarikh 5 Oktober 2021 menunjukkan logo media sosial Youtube yang dipaparkan pada tablet. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda