SYDNEY, 13 OKT – Usaha Australia untuk melarang kanak-kanak menggunakan media sosial adalah dengan ‘niat baik’ tetapi tidak akan menjadikan mereka lebih selamat dalam talian, menurut syarikat penstriman YouTube hari ini.
Perdana Menteri Anthony Albanese tahun lalu telah memperkenalkan undang-undang penting yang akan melarang individu bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial menjelang akhir 2025.
Platform popular seperti Facebook, TikTok dan Instagram bakal berdepan denda besar jika melanggar undang-undang tersebut.
YouTube, yang juga akan termasuk dalam larangan itu turut menjelaskan bukan platform media sosial dan sepatutnya dikecualikan.
Jurucakap tempatan syarikat itu, Rachel Lord, memberitahu jawatankuasa senat, larangan tersebut adalah ‘berniat baik’ tetapi berisiko membawa ‘kesan tidak diingini’.
“Undang-undang itu bukan sahaja akan menjadi amat sukar untuk dikuatkuasakan, ia juga tidak memenuhi janji untuk menjadikan kanak-kanak lebih selamat dalam talian,” katanya hari ini.
Lord berkata, platform itu sepatutnya “dikecualikan daripada skop undang-undang ini kerana kami bukan perkhidmatan media sosial.”
Australia telah menjadi peneraju dalam usaha global untuk mencegah bahaya internet, namun undang-undang semasa hampir tidak memberikan butiran tentang bagaimana larangan itu akan dikuatkuasakan.
Sesetengah pakar bimbang undang-undang itu hanya akan menjadi simbolik semata-mata.
Manakala, Pesuruhjaya eSafety akan mempunyai kuasa untuk mengenakan denda sehingga AS$32 juta terhadap syarikat media sosial yang gagal mematuhi peraturan.
Bulan lalu, kerajaan berkata syarikat-syarikat besar media sosial tidak diwajibkan untuk mengesahkan umur semua pengguna, tetapi mesti mengambil ‘langkah munasabah’ untuk mengesan dan menyahaktifkan akaun pengguna bawah umur. – AFP


