Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    YouTube padam satu juta video palsu COVID-19

    WASHINGTON, 26 OGOS – YouTube memaklumkan sudah memadam lebih sejuta video menyebarkan maklumat salah mengenai koronavirus sejak bermulanya pandemik COVID-19.

    Platform video milik Google itu mengeluarkan kenyataan terbabit selepas dikritik hebat pemimpin politik kerana gagal membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19 dan isu berkaitan yang memudaratkan umum.

    YouTube, dalam satu paparan blog, menegaskan ia bergantung kepada konsensus pakar dari pertubuhan kesihatan termasuk Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Ketua Pegawai Produk, Neal Mohan berkata dasar YouTube menumpu kepada memadamkan sebarang video yang mungkin mengakibatkan kesan buruk kepada dunia secara umum.

    “Sejak Februari 2020, kami sudah memadamkan lebih sejuta video berkaitan bahaya koronavirus termasuk ubat palsu atau penipuan berkaitan rawatan.

    Mohan berkata platform yang ada sekarang mengendalikan hampir 10 juta video setiap suku tahun dan kebanyakannya dilihat kurang daripada 10 kali.

    “Kecepatan memadamkan video adalah penting tetapi kami tahu ia tidak memadai… apa yang lebih penting ialah kita menambah kandungan yang baik dan mengurangkan kandungan salah.

    “Apabila orang ramai mencari maklumat bagi berita atau maklumat, mereka akan menerima keputusan optimum yang berkualiti, bukannya berdasarkan betapa sensasinya sesuatu kandungan video,” katanya. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda