MOSCOW, 20 DIS – YouTube telah menyekat lebih 200 saluran Rusia secara keseluruhan, termasuk 80 akaun tahun ini sahaja, menurut badan pemerhati media dan komunikasi Rusia Roskomnadzor kepada RIA Novosti.
“Bilangan saluran Rusia yang disekat hanya bertambah. Bermula dengan media Rusia, wartawan dan tokoh masyarakat, tahun ini syarikat Amerika Syarikat itu mula menyekat video pemuzik Rusia.
“Dan bukan hanya video tertentu, tetapi keseluruhan saluran popular dengan pengguna Rusia,” kata Roskomnadzor kelmarin.
Menurut badan pemerhati itu, pada 10 Julai, Roskomnadzor mengemukakan satu lagi tuntutan untuk membuka semula saluran Rusia, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
“Disebabkan pelanggaran sistematik terhadap undang-undang (Rusia), jumlah keseluruhan denda yang dikenakan oleh mahkamah ke atas Google LLC sepanjang tiga tahun lepas berjumlah lebih 25 bilion rubel (AS$241.5 juta).
“Jumlah denda bagi keseluruhan tempoh (sejak 2021) melebihi 34.5 bilion rubel,” jelas Roskomnadzor. – Bernama