Thursday, September 19, 2024
34.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    YouTuber Korea: Jangan takut hidup solo

    KOREA SELATAN – Korea Selatan telah mengisytiharkan kadar kelahirannya yang sangat rendah sebagai ‘kecemasan kebangsaan’ dan membelanjakan berbilion dolar dalam menggalakkan rakyatnya untuk berkahwin dan melahirkan anak, tetapi seorang YouTuber telah menemukan kebahagiaan dan kejayaan dalam mempromosikan ideal
    bertentangan.

    Di rumahnya di pinggir bandar Korea Selatan, Seen Aromi berlatih yoga, tidur untuk selama mana yang dimahukannya dan menggalakkan lebih 200,000 pengikutnya untuk tidak berasa takut, malu atau rasa bersalah kerana menjadi bujang.

    “Tidak berkahwin merupakan kejayaan terbesar saya, ” Seen, 37, memberitahu AFP, berkata dia tidak melihat menjadi seorang isteri atau ibu yang ‘baik’ sebagai matlamat utama dalam hidupnya.

    Mereka katakan ia adalah ‘bencana’ sekiranya wanita tidak mempunyai anak di Korea Selatan, katanya, merujuk pada kebimbangan kebangsaan mengenai krisis demografi yang meningkat di negara berkenaan, yang mempunyai kadar kelahiran paling rendah di dunia dan peningkatan penuaan penduduk.

    “Tetapi apabila saya berfikir mengenai potensi keburukan tidak mempunyai anak, (bagi saya) ia bukan apa-apa,” tambahnya.

    Gambar yang diambil pada 29 Mei lalu menunjukkan Seen Aromi menuai bawang hijau dalam tompok sayuran di luar rumahnya di Wilayah Gyeonggi-do. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar yang diambil pada 29 Mei menunjukkan Seen Aromi menggunakan komputer berhampiran model besar buku terlarisnya (objek kuning berhampiran lampu) dalam pejabatnya di rumahnya di Wilayah Gyeonggi-do. – AFP

    Seen menulis mengenai kegembiraan yang ditemuinya dalam tidak memenuhi jangkaan masyarakat dan menjalani hidup solo, dan bukunya I Can’t Help but Live Well On My Own telah mendapat sambutan yang tidak diduga.

    Buku itu telah menduduki tempat pertama carta buku laris utama buat seketika di Korea Selatan, dengan maklum balas bersemangat bukan sahaja daripada wanita bujang pada usia 30an, bahkan juga generasi tua, termasuk orang-orang yang sudah bercerai dan balu.

    Dia menerapkan semangat dalam buku itu mengenai mempunyai “kebebasan untuk menjadi semalas yang saya mahu” dan tidak dikritik untuknya.

    “Sementara sesetengah orang mungkin berkahwin kerana mereka tidak suka bersendirian, sesetengah lagi memilih untuk tidak bertemu sesiapa kerana mereka suka bermalas-malas,” tulisnya.

    Pakar-pakar telah mencadangkan bahawa ramai wanita Korea enggan berkahwin dan melahirkan anak sekurang-kurangnya atas sebab ekonomi, merujuk kepada perkembangan yang terbantut, harga rumah yang menjulang tinggi di ibu kota Seoul, dan persaingan sengit untuk pekerjaan yang mempunyai gaji besar.

    Sesetengah orang berkata isu kebudayaan yang luas memainkan peranan. Negara berkenaan masih konservatif daripada segi sosial, ibu atau bapa tunggal dipandang serong dan wanita yang berkahwin selalu berhenti bekerja, data menunjukkan bahawa mereka meluangkan 3.5 lebih banyak masa dalam sehari mengurus rumah dan menjaga anak berbanding suami mereka.

    “Jangkaan mengenai peranan jantina yang tradisional dalam sesebuah keluarga begitu juga ketegangan antara jantina setentunya berkait rapat dengan kadar kelahiran rendah sekarang,” Hyeyoung Woo, seorang profesor sosiologi di Portland State University, memberitahu AFP.

    Bagi Seen, melepaskan diri daripada perangkap tradisional Korea Selatan untuk kejayaan – apartmen di Seoul, pekerjaan dengan gaji tinggi, suami penyayang – telah membolehkan dirinya untuk menemui kebahagiaan sebenar.

    “Saya tidak pernah bekerja untuk syarikat besar, tidak hidup di bandar, dan tidak pernah berkahwin,” dia memberitahu AFP.

    Kehidupannya di Seoul adalah sengsara, Seen memberitahu AFP, dia telah menderita kerana perjalanan yang meletihkan dan tempat kerja yang penuh tekanan dan merendah-rendahkan.

    Setelah tinggal di luar negara untuk beberapa tahun, membuat pekerjaan rambang daripada pembersih bilik di hotel hingga membungkus daging di kilang ayam, dan memuat naik video mengenai kehidupannya dalam talian, dia kembali ke Korea dan tinggal di luar bandar.

    Dia mengubahsuai rumah keluarganya yang usang bekas milik arwah datuknya dan populariti saluran YouTubenya meningkat, sehingga mencecah lebih daripada 200,000 pengikut, yang menyentuh mengenai segala-galanya daripada hidup sendirian hinggalah melancong, yoga dan kecergasan.

    Sebuah video YouTube kini memberinya pendapatan lima kali ganda daripada apa yang diperolehnya setiap bulan sebagai pekerja di Seoul, dan dia boleh “hidup dengan lebih berdikari – yang mana ia adalah sangat memuaskan,” katanya.

    Hantaran media sosialnya mengenai kegembiraan hidup bersendirian telah mendapat kecaman dalam talian, dengan pengkritik mengatakan bahawa realitinya, Seen mesti merasa kesunyian, atau memanggilnya sebagai ‘pentingkan diri’ kerana tidak berkahwin.

    “Orang yang berkahwin sentiasa memuat naik gambar-gambar anak mereka dan berkongsi imej bahagia mengenai kehidupan berumah tangga mereka, dan tiada sesiapa yang mengkritiknya,” kata Seen. “Tetapi apabila saya mengatakan saya gembira, (sesetengah orang) kuat menafikannya. Mereka sepertinya berfikir ‘itu semestinya tidak benar’.”

    Seen berkata dia pernah berada dalam berapa hubungan yang baik, tetapi cara hidupnya yang berdikari dan suka mengembara merupakan keutamaan baginya, berbanding daripada membina keluarga.

    Fakta bahawa bukunya mendapat kejayaan menjadi bukti bahawa awda “masih boleh menjadi yang terbaik dalam sesuatu meskipun awda menjalani kehidupan yang di luar kebiasaan,” katanya.

    Kebanyakan pasangan yang mempunyai anak melakukannya kerana ia membuat mereka gembira, bukan kerana khuatir dengan masa depan manusia – dan orang yang hidup bersendirian juga telah membuat pilihan untuk mendapat kebahagiaan, yang mana ini harus dihormati, katanya.

    Seen memberitahu AFP bahawa dia berbangga dengan sumbangannya kepada dunia.

    Sementara orang lain melahirkan anak, katanya, “saya melahirkan dua saluran YouTube dan sebuah buku.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda