Pemain dram kumpulan Padi iaitu Yoyo mengakui masih menyayangi bekas isterinya iaitu penyanyi Rossa meskipun sudah bercerai kira-kira 15 tahun lalu.
Memetik laporan mStar, Yoyo atau nama sebenarnya Surendro Prasetyo, 49, terbuka meluahkan perasaannya itu di hadapan Rossa apabila ditanya soalan berkenaan perkara yang selama ini dia sembunyikan.
“Kenyataan yang selama ini saya sembunyikan mungkin rasa sayang saya kepada awak,” jawabnya ringkas.
Yoyo berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual program Social Experiment Bolehkan Sekali Saja Kumenangis yang dimuat naik di saluran YouTube.
Menerusi program berkenaan, Yoyo duduk di hadapan Rossa dan mereka diberikan beberapa soalan untuk dijawab dengan jujur.
Dalam pada itu, Yoyo memberitahu jika dia boleh melihat dirinya pada 10 tahun lalu, pemain dram itu pasti akan mahu mengubah segalah kesalahan yang dilakukan.
Meskipun sudah terlambat untuk memperbaiki kesilapannya, Yoyo mengakui dia menerima segala takdir yang ditentukan dan berhadap dalam meneruskan kehidupan lebih baik.
“Saya akan tertanya-tanya kenapa tidak dari dulu saya memperbaiki diri dan kesalahan saya.
“Alhamdulillah, saya sudah boleh berdamai dengan ketentuan masa lalu dan berharap dapat menjadi individu lebih baik,” ujarnya. – Agensi