Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Dalam usaha untuk memberikan peluang kepada para usahawan bagi menimba ilmu khususnya dalam bidang pengurusan perniagaan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) telah menganjurkan Program Usahawan Bekarih bertempat di Dewan Serba Guna, Kompleks Yayasan di ibu negara.
Program yang disertai oleh para penerima bantuan keusahawanan YSHHB itu merupakan salah satu usaha jangka masa panjang pihak YSHHB bagi memberikan perhatian dalam hal ehwal kebajikan para usahawannya.
Menurut Pegawai Tugas-tugas Khas YSHHB, Awang Ahmad Rithauddin bin Sabtu, program tersebut antara lain bertujuan bagi membantu para usahawan dalam menguruskan perniagaan mereka dengan lebih efektif, di samping dapat berkongsi pengalaman dan masalah yang dihadapi mereka sepanjang menjalankan perniagaan.
Antara pengisian program tersebut ialah sesi perbincangan bersama Usahawan-usahawan Bekarih YSHHB yang melibatkan seorang pensyarah Universiti Brunei Darussalam selaku pemudah cara dalam perbincangan sepanjang program berkenaan berlangsung.


Selain itu, program tersebut juga diisikan dengan Program Motivasi Keusahawanan dalam Perspektif Islam yang disampaikan oleh Pensyarah dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), diikuti dengan sesi perbincangan mengenai masalah-masalah dan cabaran-cabaran perniagaan bersama fasilitator-fasilitator program dari KUPU SB, Dayangku Hajah Saerah binti Pengiran Haji Petra dan Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar dan juga bersama urusetia SPK.
Menurut Pegawai dari Unit Pembangunan Keusahawanan YSHHB, Awang Ali Rahman berkata, program keusahawanan ini adalah kesinambungan bagi Projek Bekarih yang telah berlangsung sejak dari 2015 bagi memberikan peluang untuk para peserta menimba lebih banyak ilmu yang berkaitan kepada perniagaan-perniagaan yang telah diceburi.
Program tersebut, jelasnya lagi, adalah salah satu platform bagi para peserta untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan cabaran-cabaran yang dihadapi di dalam perniagaan bersama penyelaras-penyelaras yang dijemput bersama bagi mengendalikan program itu.
Sepanjang program berkenaan, pihak Yayasan juga menyentuh dan mengajarkan para peserta mengenai penggunaan Media Sosial sebagai platform pemasaran dalam perniagaan para peserta.
Melalui program tersebut, para peserta diharap dapat memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi dalam membantu mereka untuk menguruskan perniagaan dan melangkah lebih jauh lagi dalam dunia perniagaan.