BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) telah mengadakan Kempen Derma Darah sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang ke-33 di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan selama dua hari bermula 19 November lalu.
Majlis pelancaran kempen tersebut telah disempurnakan oleh Yang Mulia Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan memotong reben sebagai simbolik pelancaran rasmi kempen berkenaan.
Turut hadir ialah Penolong-penolong Pengarah Urusan, pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta wakil-wakil dari Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Seramai 196 orang berumur 18 tahun ke atas telah menyambut baik kempen derma darah yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berharap kempen ini dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk menderma darah, di samping memberi inspirasi kepada masyarakat untuk sama-sama menderma darah serta menanamkan sifat beramal jariah dan tanggungjawab sosial.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga merancang untuk meluaskan penganjuran kempen ini ke seluruh daerah termasuk Daerah Belait, Tutong dan Temburong secara berperingkat mulai tahun 2026, dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah serta Jabatan-Jabatan Daerah di seluruh negara.
Semua di atas: Antara suasana semasa kempen tersebut. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN YSHHB

