BEIJING/JAKARTA, 5 OGOS – China membenarkan yuannya jatuh kepada dolar AS ke tahap tujuh paling sensitif dalam politik hari ini buat pertama kalinya dalam masa 11 tahun, mencetuskan kebimbangan Beijing mungkin menggunakan penurunan nilai sebagai senjata dalam perang tarif bersama Washington.
Bank pusat menyalahkan kemerosotan kadar pertukaran ke atas ‘faham perlindungan perdagangan’, yang juga disusuli dengan ancaman Presiden Donald Trump minggu lalu atas kenaikan lebih banyak tarif ke atas barangan China dalam pertikaian berhubung dasar teknologi dan lebihan perdagangan Beijing.
Mata wang melemah kepada 7.0391 kepada dolar pada lewat petang, menjadikan satu yuan bernilai AS$0.14 sen, tahap terendahnya sejak Februari 2008.
Sementara itu, hari ini, Indonesia menunjukkan kadar pertumbuhan suku tahunan yang paling rendah dalam masa dua tahun ketika ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu turut merasakan tempias ketegangan perdagangan AS-China.
Pertumbuhan melemah kepada 5.05 peratus pada tempoh April-Jun ketika eksport dan pelaburan merosot. Ia jatuh dari 5.27 peratus pengembangan pada tempoh sama tahun lalu.
Indonesia bergelut dengan harga lemah bagi komoditi penting seperti arang dan minyak kelapa sawit ketika ekonomi global goyah di bawah tadbir Presiden AS, Donald Trump yang meningkatkan perang perdagangan bersama China.
“Cabaran yang kami hadapi bukan senang untuk ditangani disebabkan keadaan ekonomi global yang lembap,” kata ketua agensi statistik, Suhariyanto. – AP/AFP