Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yuna hilang hampir 4,000 pengikut

    Gara-gara menunjukkan tanda sokongan terhadap isu kemanusiaan di media sosial, penyanyi Yuna kehilangan ribuan pengikut termasuk tawaran persembahan di luar negara. 

    Menurut laporan mStar, Yuna atau Yunalis Mat Zara’ai, 39, berkata, dia mula sedar tentang perubahan yang dirasainya sejak lantang bersuara berkongsi kandungan menyentuh isu kekejaman yang berlaku di Gaza. 

    “Saya tahu ia sukar tetapi saya di sini bersama kamu (Palestin). Saya lihat orang yang ada ramai pengikut dan platform besar tidak berkata apa-apa ketika kita semua dalam ketakutan melihat Gaza dimusnahkan secara langsung”. 

    Katanya lagi, “sejak saya mula kongsi kandungan tembikai (rujuk kepada Palestin), saya hilang (dan juga menolak) tawaran pekerjaan, hilang kawan”. 

    “Saya tidak lagi menerima undangan untuk persembahan di luar negara. Saya hilang lebih 4,000 pengikut,” katanya. 

    Yuna berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya. 

    Dalam pada itu, Yuna turut meluahkan perasaan bercampur baur yang dialaminya sepanjang berdepan dengan situasi tersebut. 

    Pun begitu, penyanyi lagu Terukir Di Bintang itu tetap positif dan berharap agar semua yang berlaku akan terus berada dalam keadaan baik. 

    “Kadang saya rasa hari saya sangat teruk, kadang saya rasa seperti ada harapan. Ada masanya saya rasa sukar apabila orang yang saya bekerjasama berpura-pura seperti tiada apa berlaku”. 

    “Saya tidak lagi boleh berhubung dengan mereka. Ada hari saya menangis tetapi setiap hari jiwa saya tetap ada,dan dengan jiwa yang masih kuat, saya tahu semuanya akan baik-baik saja,” ujarnya. – Agensi

    Yuna sebelum ini dilihat lantang bersuara berhubung isu kemanusiaan di media sosial. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda