Saturday, December 28, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yuna ubat rindu peminat

    KUALA LUMPUR – Penyanyi tempatan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Yuna mengubat rindu lebih 300 peminat pada persembahan eksklusif di APW Bangsar Entrance, Art Printing Works Sdn Bhd.

    Persembahan anjuran Uber dan Pandora itu menyaksikan Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, mendendangkan 10 lagu.

    Penyanyi berusia 31 tahun itu membuka tirai persembahan dengan lagu Falling sebelum beralih kepada Best Love.

    Sesekali Yuna mengambil kesempatan berkomunikasi dengan penonton dan meluahkan penghargaannya kepada peminat.

    “Saya tak selalu berpeluang mengadakan konsert di sini. Persembahan malam ini juga lebih dekat dengan saya, membuatkan saya rasa lebih istimewa.

    Yuna mengubat rindu lebih 300 peminat pada sebuah persembahan eksklusif.
    Yuna mengubat rindu lebih 300 peminat pada sebuah persembahan eksklusif.

    “Saya sebenarnya tidak berapa sihat, namun berusaha untuk sihat demi semua. Ini adalah kampung halaman saya. Saya pulang kerana anda semua. Terima kasih kepada Uber, Pandora dan semua yang hadir malam ini,” katanya.

    Meneruskan persembahan, penyanyi yang terkenal dengan imej berturban itu menyampaikan lagu Lullabies, Light And Camera, Used To Love You, Decorate serta lagu duet popularnya bersama Usher, Crush.

    Yuna turut menyampaikan lagu Melayu popularnya iaitu Terukir Di Bintang, Pulang serta Dan Sebenarnya.

    Terdahulu, persembahan yang bermula pada jam 8 malam itu dijayakan kumpulan The Peachskin dan Orang Malaya.

    Peminat yang menyaksikan persembahan istimewa Yuna itu adalah pengguna Uber, yang melanggan perjalanan ke lokasi persembahan yang dirahsiakan, mulai jam 5 petang hingga 7 malam.

    Sebelum ini, persembahan eksklusif satu malam itu dirahsiakan dan hanya diketahui pemandu Uber terbabit.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda