Thursday, February 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yunani akan buka muzium arkeologi laut baharu

    ATHENS, 17 FEB – Sebuah muzium baharu yang mempamerkan ribuan artifak arkeologi kuno yang dijumpai di laut akan dibuka tahun depan di pelabuhan Piraeus, berhampiran Athens, kata pihak berkuasa hari ini.

    Muzium yang dibiayai oleh EU itu merupakan projek budaya terbesar yang sedang dijalankan di Yunani dengan anggaran bajet lebih AS$97 juta.

    Menteri Kebudayaan, Lina Mendoni berkata, bangunan seluas 26,000 meter persegi itu akan mempamerkan “ribuan penemuan yang muncul dari kedalaman laut Yunani selama bertahun-tahun,” tanpa memberikan butiran lanjut.

    Selain daripada arkeologi marin, muzium di pelabuhan terbesar negara itu juga akan menonjolkan sejarah pelayaran Yunani yang kaya, tambahnya.

    “Negara kita memerlukan muzium sebegini selama beberapa dekad,” kata Perdana Menteri Yunani, Kyriakos Mitsotakis semasa melawat tapak tersebut hari ini.

    Muzium yang dijangka dibuka pada musim panas 2026 itu akan mengambil alih sebahagian daripada dok Piraeus, menggabungkan beberapa elemen yang sedia ada dari silo penyimpanan era 1930-an.

    Menurut kementerian kebudayaan, muzium tersebut akan mempamerkan lebih daripada 2,500 artifak, termasuk banyak yang kini disimpan di Pylos, Rhodes dan Paros.

    Pada zaman dahulu, Piraeus adalah pelabuhan utama Athens kuno, dari mana kapal trireme khas mereka berlayar melintasi Laut Mediterranean. – AFP

    Muzium baharu akan dibuka di Piraeus, pelabuhan Athens kuno. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda