Penyanyi asal Korea selatan, Yunho, yang juga merupakan salah seorang ahli kumpulan TVXQ, sekali lagi mencuri hari peminat kerana telah menyumbangkan sebanyak 50 juta won (AS$38,000) kepada Community Chest of Korea bagi membantu mangsa banjir yang terjejas akibat hujan lebat luar biasa di Korea Selatan.
Sumbangan itu akan digunakan bagi menyediakan bantuan kecemasan, penempatan sementara, perbelanjaan sara hidup dan sokongan pemulihan kepada penduduk di kawasan yang teruk terjejas akibat bencana tersebut.
Yunho berkata kepada Allkpop, “Saya berharap sumbangan itu akan sedikit sebanyak dapat membantu jiran-jiran yang sedang menderita akibat banjir secara tiba-tiba itu.”
Beliau turut menambah, “Jangan hilang harapan walaupun dalam waktu yang sukar ini dan jagalah kesihatan sebaiknya. Saya benar-benar berharap agar kehidupan dapat kembali pulih seperti biasa dengan segera.”
Perkara itu bukan kali pertama Yunho menunjukkan kemurahan hatinya. Beliau telah beberapa kali tampil menyumbang kepada usaha bantuan bencana, termasuk semasa kebakaran hutan Gangneung pada 2023, kebakaran pantai timur pada 2022, dana kecemasan COVID-19 pada 2020 dan kebakaran di Gangwon pada 2019.
Pada 2022, dia juga menyertai Honor Society sebuah kumpulan penyumbang utama yang menyumbang melebihi 100 juta won (AS$75,000), sekali gus menjadi tokoh utama dalam menyemarakkan budaya menderma.
Sementara itu, Community Chest of Korea kini menjalankan kempen kutipan dana khas untuk mangsa banjir sehingga 17 Ogos.
Menurut Pusat Tindakan Keselamatan dan Bencana Pusat, setakat 20 Julai tahun ini, hujan lebat itu telah mengakibatkan 28 kematian dan lebih 9,700 keluarga kehilangan tempat tinggal di seluruh Korea. – Agensi
