DHAKA, 9 OGOS – Pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Muhammad Yunus telah mengangkat sumpah jawatan sebagai pemimpin sementara Bangladesh kelmarin, berikrar untuk membimbing negara itu kembali kepada demokrasi selepas pemberontakan yang dipimpin pelajar menamatkan pemerintahan 15 tahun Sheikh Hasina.
Yunus, yang baharu pulang beberapa jam sebelum itu, bersumpah untuk “mempertahankan, menyokong dan melindungi perlembagaan”, di hadapan pemimpin politik dan masyarakat sivil, jeneral serta diplomat di istana presiden.
“Hari ini adalah hari yang gemilang bagi kami,” kata Yunus, 84, kepada wartawan apabila beliau kembali ke Dhaka dari Eropah.
“Bangladesh telah mencipta hari kemenangan baharu. Bangladesh telah mendapat kemerdekaan kedua.”
Yunus menggesa pemulihan ketenteraman di negara Asia Selatan itu selepas beberapa minggu keganasan yang menyebabkan kira-kira 455 orang terbunuh, menyeru rakyat untuk melindungi satu sama lain, termasuk minoriti yang menjadi sasaran serangan.
“Undang-undang dan ketenteraman adalah tugas pertama kami… Kami tidak boleh mengorak langkah ke hadapan melainkan kami membetulkan keadaan undang-undang dan ketenteraman,” katanya.
“Seruan saya kepada rakyat adalah jika awda mempunyai kepercayaan kepada saya, maka pastikan tiada serangan terhadap sesiapa pun, di mana-mana sahaja di negara ini.”
“Setiap individu adalah saudara kita, tugas kita adalah untuk melindungi mereka,” kata Yunus sambil menambah bahawa “seluruh Bangladesh adalah satu keluarga besar”.
Lebih bebelasan anggota kabinetnya yang diberikan gelaran sebagai penasihat, bukan menteri turut mengangkat sumpah.
Kumpulan itu termasuk dua pemimpin tertinggi kumpulan Mahasiswa Menentang Diskriminasi yang mengetuai protes selama beberapa minggu, iaitu Nahid Islam dan Asif Mahmud. – AFP