Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yusof Haslam bimbang Syamsul menyesal bertahun tak balik rumah

    Penerbit dan pengarah filem Malaysia, Datuk Yusof Haslam tidak mahu anak lelakinya iaitu Syamsul Yusof berasa menyesal jika tidak sempat bertemu dengannya susulan sudah bertahun tidak balik ke rumah menjenguk mereka.

    Memetik dari mStar, Yusof, 69, berkata, sebagai bapa dia percaya pengarah tersohor itu akan berasa lebih tenang dan gembira sekiranya memilih melupakan sengketa dan berbaik dengan keluarga.

    Malah kata Yusof, dia dan isteri, Datin Patimah Ismail sentiasa mendoakan Syamsul dan tidak menyimpan dendam terhadap anaknya itu.

    “Kami sudah nak menjangkau usia 70 tahun pada tahun depan… Ramai rakan seperjuangan saya sudah pergi. Kepada anak saya, jangan tunggu sampai bapa kau sudah tak ada, baru nak cari!

    “Jangan anggap apa yang ibu bapa luah itu untuk merendahkan kamu. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik.

    “Papa rasa jiwa kamu akan lagi tenang kalau kamu berbaik dengan ibu (terutamanya) dan keluarga. Wang bukan segala-galanya. Dalam solat kami sentiasa mendoakan yang terbaik,” katanya.

    Yusof berkongsi perasaannya itu menerusi temu bual program Melodi yang disiarkan pada Ahad.

    Dalam pada itu, Yusof berkata, meskipun merindui Syamsul namun dia dan isteri sudah reda dengan sikap pengarah itu yang tidak mahu berjumpa dengan mereka lagi.

    Meskipun sudah bertahun Syamsul tidak pulang ke rumah namun perasaan rindu untuk bertemu dengan anak lelakinya itu sentiasa menebal.

    “Mestilah rindu, kita sayang anak kita, kan? Tiada istilah benci anak sendiri tapi saya sudah letih dengan semua ini. Jiwa saya dan isteri sudah tenang dan terima semua yang berlaku ini.

    “Saya doakan agar filem-filem Syamsul mendapat sambutan baik. Papa tetap akan menyokong kamu,” katanya.

    Sementara itu, Yusof memberitahu kali terakhir dia bercakap dengan Syamsul menerusi telefon sekitar setahun yang lalu.

    Ceritanya, Patimah menghubungi Syamsul bagi memaklumkan tentang neneknya yang sakit dan dapat berbual seketika dengan anak lelakinya itu.

    “Saya pun tak ingat bila, seingat saya tahun lepas masa mak mertua saya sakit. Ibunya ada hubungi dia, masa itu saya ada berbual sekejap.

    “Tapi sebelum itu, dah bertahun dia tak balik. Tak apa saya tak marah, tak anggap bukan-bukan,” katanya.

    Yusof berkata, mungkin ada perkara membuatkan Syamsul tidak berpuas hati dengan mereka dan memberinya ruang selain terpulang sam ada mahu balik atau sebaliknya.

    “Kalau dia tak nak balik pun, terserah. Tepuk dada tanya selera,” katanya. – Agensi

    Yusof Haslam tetap mendoakan kejayaan Syamsul. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda