Kejayaan filem Sheriff: Narko Integriti meraih kutipan lebih RM60 juta tidak dijadikan satu pendorong buat penerbit Datuk Yusof Haslam untuk melabur besar dalam sekuel karya tersebut.
Memberi bayangan anaknya iaitu pengarah Syafiq akan memulakan penggambaran tahun hadapan, Yusof, 71, berkata dia perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan modal bagi sesebuah filem terbitannya pada masa akan datang.
Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam pembikinan filem, dia yakin strategi berkesan lebih penting dalam mempromosikan filem.
“Modal besar tidak menjanjikan kutipan tinggi. Kita lebih harus berhati-hati. Dalam pembikinan filem ini ada risiko yang perlu diambil. Kalau diizinkan, Sheriff 2 akan dimulakan selepas sambutan hari raya tahun hadapan. Sekarang pun Syafiq masih sibuk dengan sebuah filem lain. Filem ini melibatkan banyak pihak sebab itu ia perlu ambil masa agak lama. Saya kena ulangi proses sama seperti Sheriff sebelum ini,” ujarnya.
Hasil kejayaan filem itu juga Yusof mengambil kesempatan untuk berkongsi rezeki dengan lebih 200 individu termasuk pelakon dan kru yang terlibat. Baginya pemberian bonus adalah satu penghargaan buat semua yang terlibat menjayakan Sheriff: Narko Integriti.
“Kita berkongsi rezeki sebab semua orang bersusah-payah menghasilkan filem ini. Setiap filem sebelum ini pun saya buat perkara sama sebagai penghargaan buat mereka yang terlibat,” ujarnya.
Sementara itu dia juga memberitahu kegagalan filem berkenaan mengutip kutipan tinggi untuk tayangan di Indonesia bukan pematah semangat dalam memasarkan lebih banyak karya ke negara jiran. Mengakui kesilapan strategi sebelum ini, Yusof berharap ia dapat diperbaiki pada masa akan datang.
“Ketika itu tidak sempat buat promosi. Filem Sheriff ditayangkan selepas preview di sana. Jadi memang satu kesilapan daripada segi strategi. Namun saya tidak pernah patah semangat. Cuma perlu ada promosi dan gerak kerja yang lebih baik,” jelasnya. – Agensi