Sunday, April 13, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yusof Haslam nampak Syamsul lebih fokus bekerja

    Bersyukur hubungan dengan anaknya kembali pulih, penerbit Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa teruja apabila dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama Syamsul tahun ini.

    Kata Yusof, 70, dia sendiri melihat perubahan anaknya itu kini lebih bersemangat dan fokus meneruskan kerja-kerja pembikinan filem.

    “Saya nampak dia lebih fokus. Walau dia sedikit kurus, tetapi sangat bersemangat.

    “Raya tahun ini Syamsul balik ke rumah dan saya amat bersyukur. Sebelum ini pun kami pergi bercuti bersama sekeluarga dan dia ikut,” katanya kepada mStar.

    Yusof ditemui ketika majlis tayangan perdana filem terbitan Skop Productions iaitu Blood Brother: Bara Naga yang berlangsung di Putrajaya pada malam kelmarin.

    Dalam masa sama, dia juga sempat berkongsi nasihat kepada Syamsul agar dapat membina hidup baharu termasuk mencari pasangan.

    Baginya membina keluarga bahagia adalah satu perkara yang harus diberi keutamaan selain kejayaan dalam kerjaya.

    “Saya katakan kepadanya apa pun yang berlaku kena bina hidup baru dan jangan hidup sendiri. Tetapi katanya dia mahu fokus kepada kerja dahulu.

    “Dalam hidup ini perlu ada pasangan supaya tidak bosan. Hidup lebih tenang dan bermakna jika berkeluarga,” ujarnya.

    Bagaimanapun sebagai bapa, Yusof tidak mahu terlalu mendesak anaknya itu untuk segara kembali berumah tangga.

    “Sebagai orang tua, saya mendoakan dia mendapat jodoh yang terbaik. Saya tak boleh mendesak kerana itu hanya harapan sebagai seorang bapa. Hal rumah tangga urusan dia. Hanya doakan masing-masing mendapat jodoh terbaik,” luahnya.

    Sebelum ini Syamsul dikatakan sudah lama tidak pulang rumah ibu bapanya selepas bernikah dengan Ira Kazar pada Januari 2023. Dia bagaimanapun melafazkan cerai talak satu terhadap Ira pada September tahun lalu.

    Syamsul juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 namun sah bercerai pada 14 Jun 2023. Mereka memiliki dua orang cahaya mata bersama iaitu Syaikhul Islam, 8, dan Sumayyah, 7 tahun. – Agensi

    Yusof harap Syamsul kembali bertemu jodoh. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda