Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yusof Haslam sentiasa ikuti cerita Syamsul menerusi media

    Penerbit Datuk Yusof Haslam memberitahu dia sentiasa ambil tahu akan perkembangan anaknya iaitu Syamsul menerusi laporan media meskipun mampu mendengar dan memandang dari jauh.

    Tambahan pula sekarang ini Syamsul sedang berdepan prosiding mahkamah berhubungan perceraian dengan isterinya Ira Kazar. Kata Yusof, 71, dia dan isterinya iaitu Datin Patimah Ismail tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka sudah lama tidak berhubung dengan Syamsul.

    “Sekarang ini telefon sentiasa di tangan, jadi mestilah kami baca setiap perkembangan berkaitan Syamsul. Ada juga rasa kasihan melihat dia perlu hadir ke mahkamah. Tetapi bagaimana nak beri sokongan sebab hubungan kami tak baik. Apakan daya hubungan telah terputus. Kami hanya mampu doa yang terbaik buat Syamsul dan semoga dia kuat berdepan cabaran kali ini. Semoga apa yang berlaku dijadikan satu pengajaran,” katanya.

    Yusof ditemui ketika majlis doa selamat meraikan filem terbitannya iaitu Sheriff: Narko Integriti yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam kelmarin.

    Menurutnya lagi, dia dan isteri juga enggan campur tangan urusan perceraian Syamsul kali ini. Malah penerbit ini juga sekali lagi menegaskan isterinya tidak pernah merasa senang atau bergembira apabila mendengar khabar rumah tangga anaknya berdepan masalah.

    “Saya tak boleh nak cakap isteri suka mereka bercerai. Isteri saya tidak cakap yes or no. Tidak adil untuk kami doakan perpisahan mereka. Kalau ada yang kata mereka berpisah sebab tidak mendapat restu, saya boleh katakan jodoh Allah tentukan. Kami bagaikan hilang kata-kata. Saya juga tidak mahu apa sahaja yang diperkatakan akan disalah erti,” ujarnya.

    Bagi Yusof biarpun anaknya itu sudah lama tidak pulang ke pangkuan keluarga, namun Syamsul akan sentiasa membawa nama dan legasi sebagai seorang penggiat seni.

    “Kami rindukan anak. Namun dalam mencari kedamaian, tuan punya diri harus mulakan. Apa yang dirasakan, kami simpan sahaja. Tidak pernah marah atau dendam. Dalam usia begini saya hanya mahukan kedamaian, namun mungkin tidak berlaku pada saya. Ini adalah ujian dalam hidup,” luahnya.

    Pada 19 Ogos lalu Syamsul memfailkan cerai terhadap Ira yang juga anak kepada pelakon Kazar Saisi. Sebutan pertama perceraian mereka berlangsung pada 27 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dan ketika itu peguam memaklumkan Syamsul sedia melafazkan talak. Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak hadir pada hari berkenaan dan perbicaraan semula ditetapkan pada 25 September ini.

    Untuk rekod Syamsul dan Ira bernikah pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand. – Agensi

    Yusof dan isteri (kiri) sentiasa ambil tahu perkembangan Syamsul. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda