Penerbit filem, Datuk Yusof Haslam tidak bimbang dengan kejadian tanah runtuh di Taman Melawati, kelmarin yang hanya jarak 500 meter daripada kediamannya.
Yusof berkata, walaupun lokasi tanah runtuh dan kediamannya berdekatan, tetapi ia tidak menjejaskan kawasan rumahnya yang terletak di lereng bukit, lapor BH Online.
“Saya tidak bimbang kerana kawasan lereng bukit di rumah saya sudah ditutupi dengan konkrit.
“Ketika awal berpindah ke rumah kira-kira 27 tahun lalu, memang ada berlaku runtuhan kecil, tetapi saya ikut nasihat jurutera menutup bahagian itu dengan konkrit sebagai langkah keselamatan.
“Setiap tahun saya akan memanggil jurutera untuk membuat pemeriksaan. Jadi, insyaAllah tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana saya memang amat titik beratkan aspek keselamatan,” katanya.
Tambah Yusof, kejadian tanah runtuh berlaku berhampiran banglo mewah enam tingkat miliknya itu boleh dijangka kerana sudah berlaku beberapa hakisan sebelum ini.
Yusof berkata, dia akan turun bersama pekerja untuk memantau keadaan kawasan rumahnya, setiap minggu.
“Jika ada kerosakan, saya akan baiki sendiri. Saya takkan tunggu majlis sebab mereka pun ada kawasan lain yang perlu dipantau.
“Tapi, saya turun pantau kawasan rumah dengan pekerja. Memang gunakan perbelanjaan tinggi, tetapi aspek keselamatan harus diutamakan,” katanya. – Agensi