Pengarah dan penerbit Malaysia, Datuk Yusof Haslam teruja dan bersyukur apabila anaknya iaitu Syamsul Yusof menyambut Aidilfitri bersama keluarga pada tahun ini.
Yusof, 70, berkata memilih jalan berdamai dan membuang sifat ego adalah lebih baik sekiranya berlaku perselisihan sesama ahli keluarga.
“Jangan simpan dalam hati kerana nanti kita akan jadi tidak tenang. Jiwa akan memberontak dan rasa semua perkara serba tidak kena.
“Begitu juga saya lakukan, sekiranya ada yang buat salah, saya sendiri akan minta maaf dulu. Bukan apa, kadang-kadang semua ini ego sahaja.
“Saya fikir tak mengapa mengalah demi mencari kedamaian. Begitu juga dengan isteri, kalau bergaduh saya juga akan ambil langkah mengaku salah supaya keadaan tidak jadi lebih keruh,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, dia juga turut gembira apabila hubungan antara Syamsul dan bekas isteri Puteri Sarah Liyana juga semakin membaik selepas berpisah pada 14 Jun 2023.
Katanya, mereka juga sudah terbuka untuk bertemu dalam sebarang acara keluarga malah pernah berbuka puasa bersama-sama sebelum ini.
“Saya mahukan itu, kalau ada perceraian yang berlaku buatlah hubungan itu seperti kawan.
“Janganlah bermusuh dengan isteri atau suami. Dunia ini kecil sahaja, pusing-pusing pun akan jumpa balik.
“Kalau ada sahabat yang sebelum ini kita bergaduh atau selisih faham, ambillah jalan untuk berdamai,” tambahnya. – Agensi