Pengarah Datuk Yusry Abdul Halim meluahkan hasrat menjalinkan kerjasama dengan personaliti media sosial, Sofyank yang juga seorang pereka video kesan visual (VFX).
Yusry, 51, berkata, dia kagum dengan hasil kerja Sofyank yang banyak melakukan pelbagai eksperimen dalam projek dihasilkan.
“Saya sebenarnya kagum dengan hasil kerja dia (Sofyank), dia banyak bereskperimentasi dalam penghasilan video dibuat.
“Memang video dia buat sentiasa menarik perhatian, kalau ada peluang untuk bekerjasama kenapa tidak?” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Yusry berpandangan sudah tiba masa Sofyank atau Muhammad Sofian Abdullah, 28, mencabar diri dengan mengambil tawaran menghasilkan VFX untuk projek berskala besar seperti filem.
Tambah Yusry, dengan kualiti dan kepakaran dimiliki, ia bukan mustahil untuk Sofyank melakukan perkara tersebut.
“Saya rasa orang seperti Sofyank kena bergerak ke peringkat seterusnya seperti buat filem.
“Saya faham dia bermula sebagai seorang content creator tapi sudah tiba masa dia cuba cipta video untuk skala lebih besar.
“Nasihat saya dia buat dengan baik setakat ini, tapi sudah tiba masanya dia cuba buat filem,” jelasnya.
Sementara itu, Yusry berkata dia mula mempelajari ilmu VFX dengan membaca buku berbeza dengan generasi baharu yang lebih gemar belajar di YouTube mahupun TikTok. – Agensi