Sekalipun memiliki pakej sempurna bergelar hero drama, Yusuf Bahrin, 28, memilih tidak terburu-buru melakukan sesuatu perkara yang tidak diyakini.
Selepas setahun mencuba nasib sebagai pelakon dan bernaung di bawah pengurusan Laugh Out Loud Entertainment, jejaka berasal dari Shah Alam itu selesa menerima peranan watak pembantu. Ketika pelakon baharu sepertinya mencuri ruang dan peluang bergelar hero, Yusuf sebaliknya melawan arus.
“Setakat ini, saya hanya pernah berlakon watak utama untuk dua telefilem sahaja. Untuk drama bersiri belum lagi.
“Diakui, saya pernah dapat tawaran hero drama, tetapi saya tolak kerana belum berani dan bersedia memikul amanah besar. Saya tahu kemampuan, jadi saya perlu ukur baju di badan sendiri.
“Saya tak ralat melepaskan peluang bergelar hero drama. Lagipun, ramai pelakon yang lebih layak. Bagaimanapun, peluang yang diperoleh selama setahun ini akan menjadi ruang untuk belajar dan memperbaiki kelemahan diri,” katanya kepada media.
Pelakon yang mencuri tumpuan menerusi watak Doktor Amar dalam drama Sweet Dreams arahan Michael Ang itu berkata, dia akan mencabar diri memegang watak hero bermula tahun depan.
“Saya tak kisah bertatih. Saya tak mahu naik mendadak, jadi saya nak ambil kesempatan yang ada untuk mencari ilmu dan pengalaman terlebih dahulu. – Agensi
