Zaha wira Ivory Coast

SUEZ, 9 JULAI – Wilfried Zaha menjaringkan gol tunggal dalam satu perlawanan hambar pusingan 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika ketika Ivory Coast menewaskan Mali 1-0 di Suez.

Pemain sayap Crystal Palace, Zaha, memastikan Ivory Coast kekal tanpa tewas menentang Mali di kejohanan itu apabila dia meledakkan gol kemenangan pada minit ke-76 bagi mengesahkan tempat suku akhir menentang Algeria.

Bagaimanapun, juara 2015 itu perlu menghasilkan permainan yang lebih baik jika mereka mahu merebut gelaran kedua dalam tempoh empat tahun apabila menyaksikan barisan penyerangnya, Zaha, Nicolas Pepe dan Jonathan Kodjia kurang menyengat.

“Kami akan menikmati kemenangan ini, ia bukan mudah menentang pasukan sebagus Mali,” kata bos Ivory Coast, Ibrahim Kamara.

“Kami mengalami separuh masa pertama yang sukar, di mana ia serba tidak menjadi. Kami berjaya menangani serangan yang datang dan mampu memanfaatkan beberapa saat penting perlawanan.”

Pepe kembali dalam skuad Gajah selepas terlepas dalam kemenangan 4-1 ke atas Namibia bersama Kodjia, sementara Mali memanggil semua barisan pemain utamanya selepas direhatkan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Zaha memecahkan kebuntuan ketika perlawanan berbaki suku jam lagi apabila satu hantaran jauh Ghohouo melepasi pertahanan Mali dan menemui Zaha, yang kemudian melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Mali. – AFP

Wilfried Zaha ketika menjaringkan gol tunggal perlawanan sambil cuba dicabar oleh penjaga gol Mali. – AFP