Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Bagi menzahirkan rasa syukur sempena genap 25 tahun pelaksanaan desentralisasi Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi, Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pemangku Menteri Kesihatan.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, disusuli bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran Khas sempena sambutan 25 tahun desentralisasi, yang dipimpin oleh Ketua Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Awang Ahmad Syuja’iee bin Begawan Mudim Haji Matassim.
Desentralisasi Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi merupakan satu langkah strategik dalam sistem kesihatan negara, yang bermula pada 1 Jun 2000.
Melalui inisiatif ini, perkhidmatan kesihatan asas telah dipindahkan dari hospital ke pusat-pusat dan klinik-klinik kesihatan di seluruh negara, bagi meningkatkan capaian serta
kualiti perkhidmatan kepada orang ramai.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail serta ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
Majlis seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan dalam memperkukuhkan nilai keagamaan dan semangat kesyukuran dalam kalangan warga kerjanya, di samping memperingati kejayaan serta pencapaian penting dalam sistem penjagaan kesihatan negara.




